Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Tuesday, July 3, 2012

Kegilaan kepada gajet membebankan?


SEBUT sahaja pasal gajet, terlintas di fikiran tentang produk teknologi sofistikated seperti telefon pintar, komputer riba, komputer tablet, kamera digital, pemain MP3 dan bermacam-macam lagi.
Secara asasnya, kesemua peranti tersebut dicipta dengan binaan kompak selain mempunyai kelebihan fungsi komunikasi dan multimedia lengkap serta moden.
Aplikasinya pula menyeluruh untuk memudahkan pengguna melaksana pelbagai urusan harian mereka secara lebih mudah dan mobiliti.
Hari ini, kita dapat lihat ahli masyarakat terutama golongan remaja tidak terlepas membawa bersama gajet-gajet berkenaan ke mana sahaja bagi memastikan mereka sentiasa berhubung dan berhibur.
Namun, di sebalik pemilikan gajet-gajet itu, terdapat persoalan adakah mereka benar-benar memerlukan dan mengaplikasi keseluruhan fungsinya secara maksimum.
Atau sekadar memenuhi kehendak nafsu yang obses dan ingin mengikut trend terkini memiliki produk-produk baru teknologi yang tidak pernah berhenti memasuki pasaran.
Jika benar begitu, sikap tersebut sebenarnya merupakan 'penyakit' yang perlu ditangani segera kerana tanpa disedari, ia memberi banyak impak buruk.
Antaranya seperti berlakunya pembaziran setiap kali mereka menukar model gajet baru walhal fungsi yang ditawarkan adalah lebih kurang sama.
Jika ada pun, ia hanya melibatkan penambahbaikan versi dan pastinya tidak akan mengganggu proses komunikasi atau hiburan sedia ada.
Dari sudut lain pula, apabila seseorang pengguna memiliki lebih daripada satu peranti komunikasi, sudah tentu mereka akan melanggan pelan-pelan data dengan total kos yang tinggi.
Jadi, jika difikirkan secara logik, mereka yang sanggup berhabis semata-mata mengejar gajet keluaran terbaru sebenarnya boleh dikatakan sebagai mangsa teknologi.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna BlackBerry Malaysia, Nelson Rizal Radzmi, trend itu sebenarnya bergantung kepada keperluan dan kepuasan pengguna dengan syarat mereka memahami pengoperasian gajet itu secara mendalam.
''Jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia dapat memberi banyak kemudahan dan penjimatan kos jaringan yang perlu dibayar kerana terdapat pelbagai tawaran aplikasi komunikasi secara percuma.
''Di pihak pengeluar pula, mereka juga kini semakin memahami kehendak pengguna dan sentiasa mengikut aliran teknologi semasa.
''Justeru, pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli gajet tanpa objektif khusus atau kerap menukar peranti pintar hanya disebabkan pengaruh gaya atau persekitaran,'' jelasnya.
Bagi tujuan itu, Nelson memberitahu, pengguna perlu mengutamakan keperluan-keperluan lain sebelum membeli gajet yang diingini selain membuat perbandingan harga terlebih dahulu.
Sementara itu, Pengasas Ada Vista Sdn. Bhd. Azli Paat berkata, untuk menggunakan peranti pintar, seseorang itu juga perlu pintar dalam membuat keputusan atau pilihan.
''Ini termasuk mengenalpasti keperluan gajet-gajet itu dalam penggunaan harian selain menilai kemampuan mereka.
''Contohnya, jika mereka seorang pelajar, pastikan gajet yang dipilih boleh membantu dalam aktiviti pengajian dan kosnya pula tidak membebankan,'' jelasnya.
Azli memberitahu lagi, elemen utama yang perlu diberi perhatian adalah memahami caj perkhidmatan yang dikenakan supaya tidak tertipu.
''Jangan terlalu ghairah untuk menjadi pengikut gajet terkini sehingga mengabaikan perkara penting ini.
''Selain itu, pengguna juga perlu sedar, di samping peranti, mereka sebenarnya perlu mengambil kira beberapa komitmen yang berkaitan seperti langganan data, membeli aplikasi dan juga aksesori,'' jelasnya.

oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN dan NOOR DIANA AZIS

Sumber : Utusan Malaysia Julai 2012

No comments:

Post a Comment