Friday, April 16, 2010

Asal Usul Lagu "SABAH TANAH AIRKU"

Kita seringkali mendengar lagu kebesaran Sabah Tanah Airku dimainkan oleh pasukan Pancaragam Polis Di-Raja Malaysia Kontinjen Sabah, terutama sekali dalam upacara-upacara rasmi kerajaan negeri Sabah, lagu ini juga sering berkumandang di sekolah-sekolah bagi mengenang dan menghormati negeri kita yang tercinta ini.Seni kata lagu Sabah Tanah Airku telah dicipta begitu rupa untuk disesuaikan dengan keadaan negeri Sabah yang kian berubah lagi membangun di bawah pemerintahan pemimpin-pemimpin dan pejuang kemerdekaan yang bijaksana dan berwawasan tinggi.Senikatanya juga mempunyai unsur kesetiaan rakyat kepada negeri Sabah yang sentiasa menjadi kebanggaan rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan agama bersatu padu di bawah panji-panji kemerdekaan dan pemerintahan yang adil dan saksama untuk terus dibangunkan dengan semangat berkerjasama dan bersatu padu ke arah kejayaan.

" Sabah tanah airku
Negeri kita yang tercinta
Pemuda pemudi
Semua marilah
Bangunlah bersatu semua
Marilah bersama serta maju jaya
Merdeka sepanjang masa
Bersatu segala bangsa sentosa
Sabah negeri merdeka "

Lagu ini berunsur patriotik bagi menanam semangat kerjasama dan bersatu ke arah kemajuan di samping memperingati kemasukan negeri Sabah ke dalam gugusan merdeka bersama-sama negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia termasuklah Sarawak pada tahun 1963.

Pencpitaan lagu ini tercetus apabila Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun (Allahyarham) Donald Stephen (Allahyarham Tun Datuk Haji Mohd. Fuad Stephen) telah mengarahkan pasukan Pancaragam Polis Tentera Borneo Utara untuk mengadakan pertandingan penciptaan lagu Sabah Tanah Airku bagi persediaan menyambut hari kemerdekaan Sabah menerusi Malaysia pada tahun 1963.

Sebanyak 37 ciptaan lagu telah diterima oleh pihak penganjur, namun hanya 7 ciptaan sahaja yang dipertandingkan di peringkat akhir. Para pengadil pertandingan tersebut ialah terdiri daripada Datu Mustapha Datu Harun dan Donald Stephen.

Lagu ciptaan H.B. Hermann dari Jalan Geylang, Singapura telah dipilih dan diisytiharkan sebagai pemenang. H.B. Hermann adalah seorang pemain biola profesional yang telah mendapat pendidikan awal di Warsaw, Poland dan sebelum berhijrah ke Singapura pernah mengembara ke Jerman, Russia dan Siberia untuk mengadakan pertunjukan opera dan muzik.

Di samping itu H.B. Hermann juga sering kali membuat persembahan di kelab-kelab malam di beberapa buah negara, beliau juga adalah seorang jurubahasa, ahli kimia dan ahli bintang yang terkemuka ketika itu.Lagu ciptaan H.B. Hermann telah diabadikan dan dirakam dengan iringan pancaragam Polis Borneo Utara pimpinan F.J. Brooks dan pertama kali dikumandangkan melalui radio Borneo Utama (kini Sabah) pada 19 Julai 1963.

Lagu Sabah Tanah Airku dimainkan melalui radio pada setiap hari pada pukul 7.30 pagi, 7.00 malam dan 12.00 tengahari mulai pada 18 Ogos 1963 sehinggalah pada 16 September 1963 lagu Sabah Tanah Airku dimainkan oleh Pancaragam Polis di padang Jesselton (kini Padang Merdeka) bagi meraikan upacara pengisytiharan Sabah merdeka melalui Malaysia dan upacara mengangkat sumpah oleh Allahyarham Datu Mustapha Datu Harun (Tun) sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah yang pertama dan Allahyarham Donald Stephen (Tun Datuk) sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Sejak daripada itu semua sekolah telah diarah untuk memainkan ataupun mendendangkan lagu tersebut di perhimpunan-perhimpunan yang diadakan di sekolah, semua pelajar juga telah digalakkan untuk menghafal lagu berkenaan untuk dinyanyikan pada masa-masa tertentu yang telah ditetapkan, sehinggalah murid-murid sekolah ketika itu lebih gemar menyanyikannya.

Orang ramai juga telah digalakkan untuk menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku bagi permulaan majlis-majlis tertentu. Lagu ini juga harus dinyanyikan secara berdiri tegak sebagai tanda penghormatan kepada negeri Sabah.Kini sudah menjadi kemestian dan peraturan semasa ketibaan dan keberangkatan balik Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah di majlis-majlis rasmi kerajaan harus diringi oleh lagu instrumental Sabah Tanah Airku, bagaimanapun sebelum itu lagu Negara Ku dimainkan terlebih dahulu oleh Pancaragam Polis Di-Raja Malaysia Kontinjen Sabah sebagai tanda penghormatan kepada negara dan Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong.

7 comments:

  1. Negara sabah atau negeri sabah
    http://www.negara-sabah.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Negara sabah atau negeri sabah
    http://www.negara-sabah.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. Negara sabah atau negeri sabah
    http://www.negara-sabah.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Betul kah Sabah meredeka melalui Malaysia? bkn kah Malaysia itu sebuah persekutuan ia itu perkongsian kuasa termasuk Sabah dan Sarawak?

    ReplyDelete
  5. Terima kasih atas maklumat cikgu.

    By the way, beberapa pembetulan iaitu:

    1. Sabah merupakan sebuah negara yang bersama-sama Tanah Melayu, Negara Singapura dan Negara Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia. Maka, Sabah dikategorikan sebagai negara selaras dengan mana-mana pembentukan persekutuan di dunia yang melabelkan ahli-ahli persekutuan sebagai sebuah negara.

    2. Sabah tidak lah merdeka melalui Malaysia kerana sebelum Malaysia dibentuk, Sabah telah diberi kemerdekaan lebih awal. Tarikh kemerdekaan Sabah adalah pada 31 Ogos 1963 dan beberapa hari selepas kemerdekaan Sabah, Sabah bersama-sama Singapura, Negara Sarawak dan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila Negara Sabah berubah kepada Negeri Sabah Dan kenapa?

      Delete
  6. mulau fakta merdekanya .. nampaknya ia juga termakan mulut manis malaya

    ReplyDelete