Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Wednesday, November 30, 2011

Perhimpunan Agung Umno 2011


Apabila saya menonton dan mendengar ucapan pembukaan daripada Presiden parti, saya yakin malah seperti juga para pengundi yang lain bahawa PRU 13 bakal tiba tidak lama lagi. Kalau mengikut perkembangan semasa yang dilaporkan oleh media tempatan dan juga daripada rakan-rakan yang sedang mengikuti perhimpunan ini, PRU 13 akan dilangsungkan pada atau sebelum April 2012.

Harapan majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, Bumiputera di Sabah dan Sarawak, tetap tinggi terhadap kemenangan UMNO dan BN bagi meneruskan pembangunan dan segala perancangan yang dibuat oleh kerajaan untuk rakyat. Memang benar parti lawan juga mempunyai penyokong yang kuat, tetapi biarlah mereka menjadi parti pembangkang sahaja di negara ini. Adalah perkara biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, kewujudan parti pembangkang memang perlu untuk memantau pentadbiran kerajaan yang memerintah. Cuma dalam kes negara Malaysia, pada saya hanya UMNO dan BN sahaja yang berkeupayaan untuk membela nasib orang Melayu, Cina dan India serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Sejak PRU 12, perpaduan kaum di negara ini terjejas malah ada ketikanya memberi perasaan gelisah (takut peristiwa 13 Mei berulang ) kepada rakyat yang cinta akan keamanan dan keharmonian. Banyak perhimpunan (haram) yang berlaku di negara ini dicetuskan oleh mereka yang menyokong kebebasan dan perjuangan songsang pihak-pihak tertentu. Alangkah rugi generasi muda jika negara ini tidak aman. Kita boleh ambil contoh negara Mesir dan Libya. Akibat perhimpunan haram yang kononnya mahu mengubah pemerintahan, akhirnya pihak tentera juga yang terpaksa menjadi pemerintah apabila keadaan dalam negara tidak terkawal. Proses untuk memulihkan ketegangan antara penyokong parti bukannya sehari atau sebulan. Dan jika pilihan raya di adakan juga...belum tentu keamanan tercapai akibat sentimen perkauman yang sudah kembali membara dalam hati dan pemikiran rakyat yang berbilang kaum. Dengan jumlah penduduk asing di negara ini yang mencecah 3 juta orang, suasana tegang pasti akan memburukkan lagi negara Malaysia. Perlu diingat negara kita ini di kelilingi oleh negara yang mempunyai ramai penduduk miskin (HIDUP SUSAH) seperti Indonesia, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Bangladesh. Buktinya kita boleh lihat PATI yang ada di negara ini semuanya datang dari negara yang dimaksudkan.

Semoga perhimpunan agung UMNO pada kali ini dapat menyatukan semua penyokong parti. Kepada orang Melayu yang masih keliru dengan arah tuju parti PAS dan KEADILAN, kembalilah kepada perjuangan asal sebelum kita menderita di negara sendiri. Kepada kaum Cina dan India, kejayaan dan kemajuan yang telah negara kita capai sejak 30 tahun yang lalu, amatlah besar ertinya kepada generasi muda yang akan mewarisi kehidupan masa akan datang. Penderitaaan hidup tahun 1950an tidak perlu kita ulang. Cuba bayangkan penderitaan yang dialami oleh penduduk Somalia akibat perang saudara yang tidak berkesudahan. Itu mereka yang serumpun, sebangsa dan bersaudara. Walaupun slogan 1Malaysia kini semakin popular di negara ini, namun apakah Orang Melayu, Orang Cina, Orang India sudah benar-benar menjiwainya. Tepuk dada tanya diri sendiri. Sekian sekadar perkongsian pendapat dari saya Cikgu Jup. SELAMAT BERSIDANG.



No comments:

Post a Comment