Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Saturday, June 2, 2012

Jangan perjudi keharmonian negara - Tuanku Abdul Halim


KUALA LUMPUR 1 Jun - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah bertitah keamanan dan keharmonian negara bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan malah tidak wujud istilah peluang kedua untuk keamanan sesebuah negara.
Seri Paduka bertitah jika sekali keamanan negara hancur dan hilang, nescaya rakyat akan hidup dalam keadaan mundur dan porak-peranda.
"Menyedari hakikat ini, beta menyeru kepada sekalian rakyat supaya lebih berhati-hati dan berfikir secara lebih matang.
"Keamanan dan keharmonian bukanlah sesuatu yang boleh kita perjudikan. Maka, sebagai sebuah bangsa merdeka lagi bertamadun, salurkanlah apa jua kritikan malah bantahan sekali pun dengan cara berhemah dan berhikmah," titah Tuanku Abdul Halim sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka yang disiarkan menerusi TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Seri Paduka turut melahirkan rasa amat dukacita dengan tindak-tanduk dan angkara sesetengah pihak yang dilihat sengaja ingin meruntuhkan asas keamanan negara yang telah dicipta secara bersusah payah.
Tuanku Abdul Halim bertitah perbuatan sedemikian jelas memperlihatkan niat tidak murni dan ketidakjujuran mereka dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi.
"Sepatutnya, mana-mana kumpulan, dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi masing-masing, hendaklah memberikan kritikan yang membina dan kondusif, bukannya memperalatkan rakyat yang tidak bersalah sehingga memesongkan pemikiran mereka," titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah tindakan golongan tertentu yang mendakwa berjuang atas nama kebebasan dan hak asasi manusia dilihat hanya bertujuan menimbulkan provokasi dan meletakkan keamanan negara dalam situasi yang berbahaya.
Tuanku Abdul Halim mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh alpa dan leka dengan anasir luar yang tidak berputus asa mahu menceroboh benteng kedamaian negara.
"Menyedari hakikat ini, amat penting bagi kita memperkukuhkan jati diri serta semangat cintakan negara. Setelah lebih setengah abad mengecap nikmat merdeka, janganlah kita terpedaya dengan dakyah atau apa jua propaganda luar yang tidak lain dan tidak bukan, hanya mahu menguasai dan mengganggu-gugat negara kita.
"Penjajahan bentuk baru terhadap politik dan ekonomi Malaysia yang cuba dilakukan ini haruslah disekat dan ditentang bersama. Mahu tidak mahu, kedaulatan tanah air tercinta mestilah terus dipertahankan," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut memuji falsafah gagasan '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan Seri Paduka sebagai semakin berjaya menyatukan serta memupuk kerjasama semua pihak dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai negara yang masih muda, Seri Paduka bertitah usaha gigih serta perancangan padu oleh kerajaan yang cekap telah mampu melonjakkan negara ke tahap yang membanggakan pada hari ini.
"Namun, walau secantik mana strategi yang telah dirangka kerajaan, hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju tidak akan tercapai jika tidak disokong dengan persekitaran yang kondusif, stabil dan harmoni.
"Demi masa depan Malaysia, unsur-unsur tidak sihat yang sedang menular dalam cara gaya rakyat Malaysia di semua aspek tidak kira politik, sistem nilai yang dipegang atau kehidupan seharian hendaklah sentiasa dibendung.
"Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kita perlu bertindak rasional dengan meletakkan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi dalam apa jua situasi serta keadaan," titah Seri Paduka.
Seri Paduka meminta rakyat supaya melihat kesan daripada pergeseran dan kekacauan yang timbul di beberapa negara luar akibat pemberontakan dan tunjuk perasaan yang tidak berkesudahan terutamanya pada aspek ekonomi yang menjadi gawat dan bermasalah.
Seri Paduka turut mengingatkan supaya detik hitam dan peristiwa berdarah yang pernah menguji negara seperti darurat, pemberontakan Parti Komunis Malaya, era konfrantasi serta pergeseran kaum perlu dielakkan daripada berulang.
"Persoalannya, apakah rakyat mahu melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kita sendiri? Ternyata jika itu berlaku, ikhtiar untuk memulihkan kembali keadaan akan mengambil masa yang sangat panjang.
"Sebab itu, janganlah sampai ia terjadi. Bak kata orang, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna lagi," titah Seri Paduka. - BERNAMA/Utusan Malaysia 2012

No comments:

Post a Comment