Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Monday, October 8, 2012

Hadiah tokoh guru tidak berbaloi


JERANTUT 7 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji hadiah yang diberikan kepada Tokoh Guru Kebangsaan kerana didapati tidak berbaloi dengan pengorbanan dan jasa mereka dalam dunia pendidikan negara.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, berbanding dengan penerima lain, hadiah kepada tokoh sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan akan hanya membawa pulang wang tunai RM10,000, pingat emas dan sijil sahaja.
"Tokoh Guru Kebangsaan merupakan anugerah besar dan ganjaran juga seharusnya setimpal. Jika dilihat dengan apa diberikan sekarang tidak memadai sedangkan pengorbanan warga pendidik terlalu tinggi malah mengatasi segala-galanya.
"Kerajaan mampu menyediakan hadiah besar kepada seorang atlet sukan dan penyanyi tetapi mengapa tidak pada seorang guru yang banyak berjasa kepada negara untuk melahirkan modal insan serta generasi berjaya dalam semua aspek," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut di sini semalam.
Omar berkata, penerima anugerah itu sepatutnya memperoleh ganjaran wang tunai antara RM50,000 dan RM100,000 serta hadiah sampingan lain seperti tiket mengerjakan umrah sebagai pengiktirafan sebenar.
"Sijil yang diberikan pula sebaiknya ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran agar menjadi satu kenangan amat dihargai dan pihak swasta juga diminta tampil menaja hadiah bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan golongan tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi KKGLMSM (M) Berhad, Awang Mohmad berkata, beliau agak terkilan kerana hadiah yang diterima oleh tokoh guru tidak setimpal dengan jasa dan pengorbanan warga pendidik sedangkan golongan tersebut mendapat pengiktirafan tertinggi.
"Pemenang pertandingan realiti televisyen dan penerima anugerah dunia hiburan mampu membawa pulang wang tunai lebih RM100,000, sebuah rumah dan kereta serta barang kemas puluhan ribu ringgit. Sedangkan insan yang menjana kejayaan hari ini hanya menerima RM10,000," katanya.
Katanya, kerajaan perlu sedar dengan matlamat pemberian anugerah tersebut iaitu mengiktiraf warga pendidik yang telah menabur jasa dan pengorbanan untuk kecemerlangan generasi.

Sumber : Utusan Malaysia 2012
Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment