Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Sunday, June 16, 2013

Hutang isi rumah meningkat

PONTIAN 15 Jun - Pinjaman perumahan dan kenderaan serta penggunaan kad kredit membuatkan golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam negara ini berada dalam nisbah hutang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, hutang isi rumah yang kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu turut disumbangkan oleh hutang berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti koperasi.
"Walaupun belum sampai ke tahap kritikal, usaha sedang dilakukan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik melalui kesedaran dan pendidikan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang diusahakan Bank Negara.
"Amalan gaya hidup mewah bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi negara lain, namun kerajaan melakukan pencegahan sebelum bertambah parah kerana ramai berbuat demikian walaupun mengetahui kemampuan kewangan mereka terbatas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan, Kaunter Bergerak BNMLINK yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian di Dewan Serbaguna Benut di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahya dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, trend gaya hidup mewah membimbangkan kerana ramai sanggup berhutang bagi mendapatkan sesuatu yang diminati seperti telefon bimbit, beg tangan, pakaian berjenama dan kenderaan mewah.
"Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberikan khidmat kaunseling kepada 219,995 individu sejak 2007 dengan 89,450 kes dibawa kepada Program Pengurusan Hutang. Ini menunjukkan mereka boleh mengawal tetapi terperangkap dengan gaya hidup," katanya.
Dalam perkembangan lain, isu harga rumah yang tinggi akan dibangkitkan dalam perbincangan Bajet 2014 pada minggu hadapan melibatkan beberapa perkara seperti kos bahan binaan dan infrastruktur yang ditanggung oleh pemaju sehingga mendakwa tidak mendapat banyak keuntungan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_05/Hutang-isi-rumah-meningkat#ixzz2WOIld5Lg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment