Tuesday, September 21, 2010

Bulan Peperiksaan : UPSR - PMR - SPM - STPM

Bermula daripada hari ini 21 September hinggalah ke bulan Disember, pelajar Tahun Enam, Tingkatan Tiga, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas sedang dan akan menduduki kelas peperiksaan. Dimulakan oleh adik-adik Tahun Enam (Sekolah Rendah) dengan UPSR. Apa juga tafsiran yang lahir daripada pemikiran ahli akademik samada seorang guru atau pensyarah, ibu bapa sudah semestinya mahukan anaknya mendapat keputusan yang cemerlang 5A. Berat mata memandang berat lagi bahu para pelajar untuk memenuhi hasrat dan keinginan ibu bapa.
"Jika awak dapat keputusan 5A, ibu akan belikan mainan PS3"

"Kalau awak dapat keputusan 5A, ayah akan belikan Laptop baru"

"Nak! kalau kau lulus, kau akan dapat masuk sekolah berasrama penuh"

"Nak! buktikan kepada orang kampung, walaupun kita miskin kau boleh lulus cemerlang UPSR"

"Para pelajar yang lulus cemerlang 5A, pihak sekolah akan berikan anugerah iaitu RM100 bagi
setiap mata pelajar yang dapat keputusan A"

Inilah gambaran situasi yang sering berlaku ketika bulan peperiksaan berlangsung. Tumpuan dan keinginan semua pihak untuk memperolehi keputusan peperiksaan yang membanggakan, menjadikan hala tuju sistem pendidikan negara kita hanya menguntungkan ibu bapa yang mempunyai sumber kewangan yang banyak. Biarlah anak mereka tidak pandai bergaul dengan jiran rumah sebelah, asalkan anak mereka duduk di rumah siang dan malam membaca dan mengulangkaji pelajaran. Tidak cukup dengan pengajaran guru di sekolah, anak-anak dihantar ke pusat-pusat tusyen. Tambah teruk lagi jika anak jiran yang duduk sebelah rumah bukan satu kaum atau seagama dengan mereka. Sikap menunjuk-nunjuk bertambah tinggi grafnya.

Pemikiran ini bukanlah suatu yang pelik atau salah kerana setiap individu mempunyia caranya tersendiri untuk menentukan masa depan anak-anaknya. Cuma barangkali generasi muda hari ini semakin terpisah oleh kecemerlangan akademik. Dalam satu keluarga pun, berlaku situasi pilih kasih akibat keputusan peperiksaan yang berbeza antara adik beradik. Akhirnya keharmonian dan hubungan kekeluargaan bertambah longgar. Anak yang berjaya dalam pelajaran lebih disayangi dan mendapat perhatian yang lebih berbanding dengan anak yang gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran.




No comments:

Post a Comment