Wednesday, September 22, 2010

Strategi selesai masalah tingkat kualiti kepimpinan

Ditulis oleh: Ishak Ismail (Majalah Pendidik)

PENCAPAIAN murid sering dikaitkan dengan standard akademik yang tinggi, kualiti kerja guru, pengurusan kurikulum cemerlang, pembabitan positif komuniti, kepimpinan sekolah yang dinamik dan bersistem. Kejayaan seseorang pemimpin di sekolah tidak boleh diukur daripada jumlah aset yang diperolehi sekolah seperti kerusi meja, komputer, bangunan atau kepuasan ibu bapa, sebaliknya peranan guru dalam membentuk pelajar serta cara mereka membangunkan kualiti pendidikan menjadi tumpuan utama masyarakat.

Membina kualiti pendidikan bukan semudah yang dijangka sebaliknya memerlukan komitmen tinggi di samping kerjasama erat guru dan pemimpin di peringkat sekolah. Gaya kepimpinan Pengetua dan Guru Besar banyak mempengaruhi peningkatan atau penurunan kualiti sesebuah sekolah.

Dalam usaha membangunkan organisasi dan meningkatkan kualiti, pentadbir memerlukan strategi tertentu supaya matlamatnya tercapai. Tanpa strategi sudah tentu usaha membangunkan kualiti hanya akan tinggal angan-angan semata-mata. Sebelum seseorang pentadbir dapat membangunkan kualiti mereka perlunya mengetahui pendekatan dalam menyelesaikan masalah.

Beberapa ahli pendidikan barat seperti Greenwood, Gaunt, Deming, Juran, Murgatroyd, Morgan dan Buchanan pernah memperkenalkan kaedah menyelesaikan masalah dan meningkatkan kualiti. Pentadbir perlu memahami bahawa ciri utama dalam pembangunan kualiti khasnya dalam Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) ialah pendekatan kepada menyelesaikan sesuatu masalah.

No comments:

Post a Comment