Friday, June 17, 2011

Realiti Sistem Pendidikan Malaysia


"Peperiksaan adalah teras sistem pendidikan Malaysia". Semua guru diminta, diarahkan, disuruh mengajar pelajar-pelajar sekolah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Pencapaian gred A yang banyak sangat dipentingkan untuk mengukur kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru masuk ke kelas dengan membawa sekali pemikiran untuk menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan menjelang. Ketua Bidang diminta membuat pemantauan guru-guru yang mengajar di dalam kelas. Ketua-ketua Panitia pula diarahkan menyemak bab mata pelajaran yang diajar oleg guru mata pelajaran. Sukatan mata pelajaran mesti selesai pada bulan Jun. Kalau ada guru yang lambat menghabiskan bab, diarahkan membuat kelas tambahan pada sebelah petang.

Di pihak pentadbiran PPD, markah peperiksaan hendaklah dihantar secepat mungkin. Alasan yang diberi markah tersebut akan dibawa dan dibincangkan di peringkat Negeri. Sekali lagi pegawai yang hadir diminta menjelaskan pencapaian sekolah-sekolah yang ada di bawah pentadbiran PPD. Pentadbiran PPD yang cemerlang juga diukur dengan tahap pencapaian peperiksaan umum.

Terlalu mementingkan keputusan peperiksaan menyebabkan kualiti pengajaran guru semakin tidak penting. Sebaliknya latihan menjawab soalan-soalan peperiksaan lebih diutamakan. Guru yang banyak memberi latihan kepada pelajarnya adalah guru yang baik dan disukai oleh ibu bapa. Pelajar yang pandai memang suka dengan aktiviti ini, namun pelajar yang lemah dan kuarng pandai akan terus mengeluh kerana dipaksa menjawab soalan-soalan latihan yang banyak.

'Hari-hari masuk kelas mesti buat latihan menjawab soalan latihan. Masuk makmal sains pun bukannya buat eksperimen. Pasang LCD salin buat nota". Subjek Sejarah lagi membosankan. Hari-hari cikgu menyuruh kami membaca, salin nota dan jawab soalan latihan". Jawapan yang pernah keluar dari mulut seorang pelajar tingkatan lima sains.

Konflik guru dengan pelajar yang kurang cemerlang akademik berterusan dengan ungkapan-ungkapan negatif. Pelajar yang lulus cemerlang dipuji, diberi hadiah, diberi tumpuan agar mata pelajaran yang diajar terus cemerlang keputusannya. Ibu bapa pula sering membandingkan anaknya yang lemah itu dengan anak-anak jirannya. Kadang-kadang anak dimarahi kerana memalukan keluarga. Tekanan yang bertubi-tubi menjejaskan emosi.

Terlalu mementingkan sistem peperiksaan, menyebabkan anak-anak Malaysia hanya pandai menghafal jawapan. Membaca buku untuk lulus peperiksaan. Tiada peperiksaan tiada buku. Budaya membaca buku hanya berlaku dalam kalangan mereka yang tahu kepentingan ilmu pengetahuan.

No comments:

Post a Comment