Monday, July 11, 2011
Perhimpunan Haram 'BERSIH" hanya menyusahkan rakyat
KESUDAHANNYA,Seperti yang dijangka, perhimpunan berkenaan mengundang seribu macam masalah kepada orang ramai terutama warga kota dan penduduk Lembah Klang. Hari Sabtu yang sepatutnya boleh dihabiskan bersiar-siar bersama keluarga atau rakan-taulan atau melakukan urusan kerja yang lainnya, menjadi satu hari yang 'lumpuh' disebabkan perhimpunan haram ini.
Sekatan dan penutupan jalan raya yang terpaksa dilakukan oleh pihak polis bagi mengagalkan perhimpunan itu menjelang dan semasa hari perhimpunan, membuatkan ramai warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak kurang juga yang 'mati akal' untuk mencari jalan alternatif ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Kedai-kedai di sekitar lokasi perhimpunan turut ditutup, dan mereka terpaksa menanggung kerugiannya bukan penganjur.
Dalam pada itu, operasi pengangkutan awam juga terganggu dan mengakibatkan beribu-ribu orang awam terkandas di ibu kota. Beberapa majlis perkahwinan yang berlangsung turut terjejas kerana kesukaran tetamu untuk datang berikutan penutupan jalan.
Begitulah kesukaran yang terpaksa dilalui oleh rakyat disebabkan oleh agenda pihak yang tidak bertanggungjawab. Pun begitu, penghimpunan tersebut sebenarnya tidak langsung menarik minat warga kota untuk menyertainya.
Kelompok penganjur terpaksa 'mengimport' peserta luar untuk berarak dan membuat kecoh. Rata-ratanya adalah orang Melayu, berapa kerat sahaja kaum Cina dan India terbabit dalam perhimpunan itu.
Secara tidak langsung peristiwa Sabtu lalu, memperlihatkan wajah sebenar pembangkang yang suka mencetuskan kekecohan dan tidak mengambil kira kepentingan serta ketenteraman awam. Ia sebenarnya tidak pun menguntungkan gerakan pembangkang ini, kerana rakyat sememangnya tidak merestui dan mengutuk tindakan mereka membuat kacau ini.
Rakyat sudah tentunya percaya dan yakin, pemimpin yang mereka pilih, penentuannya adalah di peti undi bukan dengan mengheret rakyat melakukan demonstrasi di jalan raya. Dalam perkara ini, rakyat yang sebelum ini diminta oleh Bersih dan parti-parti pembangkang atas nama demokrasi untuk menyertai perhimpunan ini, harus dipuji kerana menolak perhimpunan ini.
Dan terima kasih juga kepada rakyat terutamanya warga kota yang dengan sabar melalui saat-saat kepayahan ini dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka mententeramkan Kuala Lumpur.
Pihak polis sewajarnya diberikan pujian kerana berjaya menghalang perhimpunan ini daripada menjadi kecoh dan terpaksa diumumkan darurat. Bahkan peserta-peserta yang ditahan oleh pihak polis juga diberikan layanan baik termasuk makan minum dalam khemah khas ala kenduri kahwin. Kosnya, sudah pasti tidak ditanggung oleh penganjur.
Dan kita berharap dengan berakhirnya perhimpunan ini, tidak akan menyebabkan pihak polis 'menutup buku' siasatan terhadap Bersih.
Pihak berkuasa seharusnya terus menyiasat secara habis-habisan. Banyak keraguan dan kemusykilan terhadap gerakan Bersih ini. Ini termasuk dakwaan mengenai sumbangan dana asing yang melimpah masuk untuk tujuan perhimpunan ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment