Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Sunday, July 21, 2013

Kepentingan vaksin rubella

Rubella atau German measles adalah jangkitan yang boleh menyebabkan ruam berwarna kemerah-merahan, bermula pada bahagian muka dan kemudiannya merebak ke bahagian badan yang lain. Simptom lain yang biasanya muncul sebelum ruam termasuk demam yang tidak begitu tinggi, konjuktivitis (inflamasi mata) dan nodus limfa membengkak.
Virus ini akan menamatkan kitarannya dalam masa kira-kira tiga hari tetapi lebih separuh daripada mereka yang dijangkiti tidak mendapat apa-apa simptom. Kebanyakan daripada mereka tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti.
Walaupun rubella biasanya tidak membahayakan, namun berbahaya bagi wanita hamil kerana boleh menyebabkan banyak masalah kepada bayi dalam kandungan. Apabila bayi tersebut dijangkiti, iaitu apa yang dipanggil sindrom rubella kongenital (CRS), masalah-masalah berikut boleh berlaku iaitu katarak dan kecacatan mata yang lain, pekak, kecacatan jantung, kepala yang lebih kecil daripada biasa (microcephaly), tumbesaran terbantut ketika dalam kandungan dan kerosakan pada otak, hati, paru-paru dan sum-sum tulang.
ImunWanita di Malaysia bernasib baik kerana majoriti kini imun terhadap penyakit ini, sama ada melalui pelalian atau vaksinasi yang diterima semasa kanak-kanak ataupun kerana mereka telahpun menghidap rubella sebelum ini. Penyakit ini kini sangat jarang berlaku.
Pelalian terhadap rubella boleh berubah selepas satu jangka masa tertentu. Oleh itu, baik juga jika anda periksa dahulu sebelum mencuba untuk hamil, walaupun anda telah imun terhadapnya pada masa lalu. Anda boleh meminta doktor supaya menjalankan ujian darah untuk memastikan perkara ini.
Jika anda pasti bahawa anda tidak mempunyai pelalian terhadap rubella, cara terbaik adalah mendapatkan vaksinasi tersebut sebelum anda hamil, kemudian tunggu selama sebulan sebelum cuba untuk hamil. Ini dapat memberi masa yang cukup kepada badan anda untuk membunuh virus yang disuntik ke dalam badan supaya ia tidak menjangkiti bayi dalam kandungan anda.
Sekiranya ujian darah yang dilakukan pada awal kehamilan menunjukkan anda tidak imun terhadap rubella, anda perlu menunggu sehingga melahirkan sebelum boleh mengambil pelalian. Ini boleh dilakukan sebelum anda keluar dari hospital jika bersalin di hospital, atau semasa pemeriksaan selepas bersalin.
Andai kata anda mendapat pelalian dalam minggu-minggu pertama kehamilan iaitu sebelum anda tahu bahawa anda sedang hamil, janganlah risau. Doktor akan mengesyorkan supaya anda menjalani ujian imbasan ultrabunyi dalam minggu ke-18 hingga ke-20 untuk meneliti keadaan bayi dan semoga ini dapat memberi anda sedikit keyakinan.
Risiko Kemungkinan bayi anda dijangkiti rubella bergantung kepada tahap kehamilan anda semasa mendapat jangkitan ini. Risiko paling tinggi jika anda mendapat rubella sebelum minggu ke-11 kehamilan (sembilan daripada 10 bayi mendapatnya). Menjelang minggu ke-17, perkara ini jarang berlaku, walaupun masalah pendengaran boleh menjejaskan bayi sehingga minggu ke-20.
Oleh itu, jika anda tidak pasti mengenai status pelalian anda, cuba elakkan daripada mendekati mereka yang menghidap rubella, terutamanya dalam tempoh beberapa bulan pertama kehamilan anda
Malangnya, jika anda dijangkiti virus ini, tiada apa yang boleh dilakukan untuk melindungi bayi anda. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui kesan rubella terhadap bayi dalam kandungan anda.

No comments:

Post a Comment