Friday, May 20, 2011

Guru Patut Menghasilkan Blog Mata Pelajaran


Blog ialah sebutan ringkas bagi weblog. Blog ialah sebuah laman web, tetapi dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya walaupun tidak memiliki pengetahuan teknikal yang mendalam tentang bahasa komputer.
Blog mengandungi maklumat yang menggambarkan minat, pemikiran atau pendapat seseorang yang menerbitkan blog itu. Dengan ciri ini, blog sesuai dijadikan sebagai medium pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh seorang guru. Penggunaan blog akan mengurangkan rasa bosan para pelajar untuk mengikuti pengajaran guru. Jika pada hari itu, guru tidak dapat masuk kelas kerana ada mesyuarat atau berkursus, atau pelajar tidak dapat masuk belajar kerana sibuk dengan latihan sukan, pengajaran dan pembelajaran akan berterusan melalui blog kerana ia disampaikan melalui internet.
Di internet, blog dilihat hampir menyerupai laman web. Ia lebih mudah dikemaskini tanpa memerlukan kemahiran teknik pengaturcaraan. Blog juga lebih interaktif di mana guru sebagai pengendali blog boleh berkomunikasi secara interaktif dengan pelajar yang sedang membaca blog guru tersebut. Guru dan pelajar boleh saling bertanya atau menjawab persoalan dengan mengunakan ruangan komen atau email. Sesuai dengan tema hari guru pada tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” maka adalah wajar guru mengaplikasikan kemudahan blog untuk mengajar. Kalau tidak mahir menghasilkan blog, bertanyalah dengan rakan-rakan guru yang sudah memiliki blog mata pelajarannya sendiri, atau carilah panduan yang begitu banyak di internet. Berusahalah untuk menjadi guru yang kreatif dan berinovasi agar para pelajar tidak bosan dengan kaedah pengajaran yang kita laksanakan.

No comments:

Post a Comment