LUXEMBOURG 13 Mei – Malaysia sedang berhadapan dengan risiko kenaikan inflasi, sementara zon Eropah berhadapan dengan krisis hutang dan peningkatan harga tenaga yang boleh mengugat pertumbuhan stabil ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
‘‘Terdapat kecenderungan terhadap risiko kenaikan inflasi, namun ia sebaliknya bagi pertumbuhan,’’ katanya kepada agensi berita Reuters di Persidangan Perbankan Islam di sini hari ini.
‘‘Terdapat risiko peningkatan inflasi. Ia merupakan fenomena sejagat apabila harga komoditi dan tenaga akan ditafsirkan kepada kenaikan harga makanan dan minyak.
‘‘Ia adalah sesuatu yang kami pantau secara dekat. Pada masa ini penilaian masih lagi di sekitar jangkaan iaitu pada paras 2.5 hingga 3.5 peratus,’’ katanya.
Ditanya mengenai pembuat dasar Malaysia yang sedang menimbang menaikkan unjuran inflasi pada mesyuarat yang lepas, Zeti berkata,‘‘ Tidak pada masa ini. Walaupun risiko ada, tetapi tidak terdapat maklumat lanjut untuk menukarnya,’’ jelas beliau.
Bank pusat Malaysia telah menaikkan penanda aras kadar faedah kepada tiga peratus pada April berbanding 2.75 peratus.
Penganalisis melihat mata asas akan dinaikkan lagi sekitar 25 hingga 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini.
Zeti berkata, kesan ekonomi kepada Malaysia berikutan bencana gempa bumi di Jepun adalah terhad manakala kesan terhadap krisis Timur Tengah tidak dapat dielakkan.
Sumber: Utusan Malaysia 14 Mei 2011
No comments:
Post a Comment