Saturday, May 21, 2011

Tanah Berlari di Kundasang



Fenomena 'tanah berlari' di Kundasang
Oleh Dr Ibrahim Komo
ikomoo@yahoo.com

Gelinciran sejak 1990 hantui penduduk di kaki Gunung Kinabalu

SETIAP kali gelinciran tanah atau tanah runtuh berlaku di Bukit Antarabangsa, warga Malaysia dihebahkan dengan berita negara sedang diancam bencana alam gelinciran tanah. Dalam beberapa hari berikutnya masyarakat dimaklumkan akhbar mengenai ahli politik dan pihak berkuasa sedang berusaha mengatasi ancaman ini, memberikan perhatian kepada mereka yang terbabit dan mengemaskan dasar serta peraturan yang berkaitan dengan usaha pengurangan risiko tanah runtuh.
Di pekan Kundasang, Sabah peristiwa gelinciran tanah sudah menghantui penduduknya sejak lebih 20 tahun lalu. Penduduk di pekan dan kampung di sekitarnya terpaksa menghadapi risiko gelinciran tanah sepanjang masa. Malah mereka mengambil sikap berserah dan beradaptasi dengan bahaya gelinciran tanah.
Oleh kerana kebanyakan rumah diperbuat daripada kayu, mereka akan memperbaiki rumah mereka atau membina yang baru setiap kali mengalami kerosakan oleh gelinciran tanah, atau dalam bahasa komuniti mereka dipanggil ‘tanah berlari’. Pihak berkuasa tempatan pula sentiasa memperbaiki jalan, tiang elektrik dan paip air yang rosak akibat gelinciran tanah.

Beberapa peristiwa gelinciran tanah lampau telah menggugat pekan Kundasang, ada peristiwa yang menyebabkan kematian, dan sebahagian besar gelinciran tanah menyebabkan harta awam seperti sekolah, bangunan kerajaan dan infrastruktur kemudahan asas musnah. Sebahagiannya terpaksa ditinggalkan terbengkalai. Keadaan pekan dan perkampungan di sekitar Kundasang sangat menyedihkan, seolah-oleh baru dilanda bencana alam yang dahsyat!

Pada April 2011, sekali lagi Kundasang dilanda gelinciran tanah. Tiga kawasan terjejas teruk, Kampung Lobo-Lobo, Kampung Dumpiring Atas dan Kampung Kundasang Lama. Bagaimanapun, gelinciran tanah di Kampung Kundasang Lama adalah yang paling serius dan mengerikan. Kawasan cerun yang panjangnya lebih 500 meter dan lebar 200 meter tergelincir sekitar 25 meter dengan jatuhan menegak di bahagian kepala gelinciran mencapai 15 meter. Pergerakan gelinciran pada kadar 0.2 hingga 0.5 meter sehari terus berlaku hingga saat ini.

Gelinciran tanah Kundasang Lama mengakibatkan lebih 80 unit chalet di Resort Zen Garden musnah, sekitar 10 rumah penduduk kampung tergelincir dan terangkat sehingga rosak teruk, dan jalan yang menghubungi kawasan kampung runtuh menyebabkan perhubungan terputus. Sehingga kini pengusaha chalet dan penduduk kampung masih dalam keadaan tertekan dan berserah apakah harta benda dan rumah mereka dapat diselamatkan?
Akibat gelinciran tanah ini, satu fenomena baru berlaku. Sebahagian daripada penduduk kampung berasakan risiko yang dihadapi terlalu tinggi dan membuat keputusan tidak mampu beradaptasi lagi dengan gelinciran tanah. Mereka keluar beramai-ramai meninggalkan perkampungannya, dan meneroka tanah kerajaan yang dipercayai lebih selamat. Oleh itu kerajaan negeri berada dalam keadaan serba salah, sama ada mahu membiarkan pemindahan tidak terancang ini atau mengambil tindakan positif dengan menyediakan kawasan perkampungan baru.

Kawasan Kundasang yang berada di perbukitan bercerun landai di kaki Gunung Kinabalu memang diketahui lama kawasan yang berhadapan dengan risiko gelinciran tanah. Sebahagian besar Kundasang berada dalam zon gelinciran tanah yang bergerak pelahan (purata 0.5 hingga 1m setahun).

Pihak berkuasa tempatan sudah mengetahui Kundasang berada dalam kawasan gelinciran tanah sejak awal 2000 lagi. Apabila sebuah bangunan sekolah patah dua dan terpaksa dimusnahkan, dan jalan utama merentasi Kundasang mendap beberapa kali, mereka dimaklumkan bahawa kerosakan disebabkan gelinciran tanah. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah mengambil pelbagai langkah mitigasi, tetapi tindakan mereka hanya tertumpu kepada menstabilkan jalan raya utama Tamparuli-Ranau. Kawasan perkampungan di Kundasang belum mendapat perhatian.

Apa yang sebenarnya berlaku di Kundasang? Dari perspektif geologi, Kundasang terletak di kawasan yang memiliki batuan dasar yang sensitif terhadap gelinciran tanah. Batuan yang dikenali sebagai Formasi Trusmadi, terbentuk daripada batuan yang mengandungi tanah liat, apabila tepu air menjadi lembut dan mudah bergerak. Kawasan ini juga berada pada zon sesar aktif menyebabkan sebahagian besar batuannya bersifat hancur dan mempunyai kekuatan tampungan yang rendah. Inilah punca gelinciran tanah mudah berlaku di kawasan ini, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara

No comments:

Post a Comment