"Sesiapa yang dua harinya (semalam dan hari ini) sama sahaja, dia rugi.Sesiapa yang hari ini lebih teruk dari semalam, dia celaka(mal'un)" Abu Sulaiman ad-darani.
"Kita tidak dapat mengubah di mana tempat kita bermula, tetapi kita dapat ubah arah tempat yang kita tuju." Napoleon Hill.
Saya seorang guru yang bertugas di Sabah. Saya diberikan tanggungjawab sebagai ketua bidang bahasa di sekolah setelah mendapat kenaikan pangkat secara Timed Based gred DG44. Tiga hari menjawat jawatan ketua bidang, saya diberikan pula tugas sebagai pengarah program Majlis Kecemerlangan Pelajar. Pada mulanya saya agak tertekan kerana tempoh persediaan program begitu singkat iaitu 4 minggu. Jemputan perasmi pula bukan calang-calang orang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Mujurlah perasmi yang dicadangkan tidak dapat hadir. Bukan apa, menjemput pemimpin besar dengan persediaan yang kurang teratur, akan membawa keburukan kepada sekolah juga akhirnya. Banyak protokol perlu difikir dan dirancang dengan teliti.
Waktu ini pula peperiksaan semester pertama sedang dijalankan. Ramai guru yang sibuk menyiapkan soalan mata pelajaran masing-masing. Kadang-kadang timbul persoalan dalam hati, apakah program yang bakal dilasanakan pada 26 Mei ini nanti hanya saya saja yang ambil tahu. Mujurlah ia tidak jadi begitu. Setelah berjaya mengendalikan mesyuarat pertama, kini saya telah bersedia untuk menjadikan program yang dirancang menjadi kenyataan. Itu pun setelah rakan-rakan guru yang lain memberi sokongan dan kerjasama kepada saya. Dari semasa ke semasa saya belajar mengurus kerja dan memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan guru yang lain. Setiap hari saya perlu lebih baik dari hari semalam.
Walau bagaimanapun pada saya apa juga program yang bakal dipertanggungjawabkan kepada mana-mana guru, hendaklah wujud dalam takwim tahunan sekolah. Maksudnya telah dinyatakan dengan jelas dalam takwim bahawa guru berkenaan akan menjadi ketua atau pengarah program, agar persedian dapat dirancang dengan baik dan kualiti program dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment