Friday, August 12, 2011

Bahaya Main Mercun : Sudah Terang Lagi Bersuluh



Kejadian anak-anak putus jari, mata buta, badan melecur akibat bermain mercun bukan perkara aneh di negara kita. Malah setiap kali umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan, perbuatan bodoh ini sering dilaporkan dalam media massa. Para penulis dan pelukis kartun juga menggunakan kemahirannya untuk menyindir golongan yang bodoh ini. Apa tidaknya sudah tahu mercun itu merbahaya yang boleh mencederakan anggota badan, tetap dibuat mainan. Dan yang lebih malang lagi anak-anak yang bodoh ini majoritinya anak-anak Melayu. Apakah anak-anak ini tidak dididik atau menerima pengetahuan tentang bahaya bermain mercun. Mohon maaf kalau perkataan 'bodoh' terlalu kasar untuk menunjukkan perangai anak-anak Melayu.

Saya juga keturunan Melayu dan pernah menjadi bodoh sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Tapi syukur saya tidak pernah cedera akibat bermain mercun. Ibu bapa pada zaman kanak-kanak saya dahulu, juga bising dan marah apabila melihat saya dan kawan-kawan bermain mercun. Kata-kata yang sering keluar dari mulut mereka "bah...mainlah kamu mercun, selagi tidak putus tangan kamu tu, jangan kamu berhenti main...main...main saja sampai putus tangan tu.."

Amaran oleh pihak kerajaan juga sudah lama dikuatkuasakan, sejak dahulu lagi memang sudah ada larangan bermain mercun. Jangan salah anggap dengan pihak kerajaan. Mungkin masalah yang sering diungkit oleh masyarakat sejak dahulu lagi ialah "kenapa mercun ada pada musim perayaan terutamanya penjualannya sangat berleluasa pada perayaan orang Islam iaitu Hari Raya. Orang Cina juga main mercun bila perayaan Tahun baru Cina disambut di negara ini. Orang India jarang kedengaran main mercun. Tapi anehnya amat jarang sekali laporan media yang mengatakan anak-anak Cina putus jari akibat bermain mercun di Malaysia. Kalau di negara China, mungkin yang mati akibat bermain mercun pun ada. Itu di sana bukan di sini. Asal saja menjelang Hari Raya Aidil Fitri, banyak laporan anak-anak Melayu cedera akibat bermain mercun. Kenapa mesti anak-anak Melayu. Bodoh sangatkah anak-anak Melayu, sehingga bahaya bermain mercun pun mereka tidak tahu. Salah siapa? 'Tepuk dahi tanya diri sendiri". "Sudah terang lagi bersuluh" "Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula"

"Ayah...kenapa tak boleh main mercun"...."Ibu...kenapa mercun tu bahaya" Sekali lagi saya mohon maaf kalau hasil tulisan ini menyinggung perasaan anda yang sedang membaca. Selamat Berpuasa.





No comments:

Post a Comment