Saturday, August 13, 2011

Menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna



"Menyesal Dahulu Pendapatan,Menyesal Kemudian Tidak Berguna" peribahasa ini seakan-akan sudah dilupakan oleh rakyat Malaysia. Sejak merdeka 54 tahun yang lalu (31 Ogos 1957), negara ini terkenal dengan kehidupan yang aman damai. Mungkin generasi yang hidup akhir tahun 60an pernah merasai suasana tegang yang berlaku akibat rusuhan kaum yang juga amat diingati dalam sejarah tanahair "13 Mei". Selepas itu rakyat Malaysia kembali hidup aman damai hasil usaha kepemimpinan negara yang benar-benar berkhidmat untuk masyarakat, berjaya mengikat kembali tali perpaduan yang sedikit longgar.

Dalam tempoh lebih 30 tahun kehidupan rakyat di negara masih harmoni, namun selepas PRU ke 12 (2008) tali perpaduan kembali longgar malah semangat perkauman dan ketegangan antara kaum kembali hidup akibat sentimen politik yang dimainkan oleh manusia yang berselindung disebalik perjuangan untuk membela nasib rakyat. Manusia yang gila kuasa ini sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri dan keluarganya. Disatu pihak pula, mereka semakin berani menyentuh hal-hal yang sensitif kepada penduduk majoriti negara ini. Mengapakah hal ini berlaku? Apakah rakyat Malaysia tidak berani menghukum manusia-manusia yang menjadi dalang permusuhan ini?

Kehidupan yang harmoni bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipertahankan di negara ini. Ibarat tersesat dipertengahan jalan, sebelum jauh berjalan kita kembalilah ke pangkal jalan. Tidak rugi untuk kita kembali ke pangkal jalan kerana setiap langkah kemajuan harus bermula dari langkah yang jelas, langkah yang suci, agar generasi yang menyusul kelak tidak keliru dengan bekas tapak kaki yang telah kita tinggalkan.

Kegilaan dan kengkuhan ahli-ahli politik yang durjana ini bukannya susah untuk diajar atau lebih sedap lagi 'dihukum'. Sebagai rakyat yang waras dan cintakan kedamaian, kita jangan malu dan jangan takut untuk tidak memberi undi kepada mereka. Pilihan raya adalah suatu hari yang sangat mujarab untuk kita menghapuskan penyakit yang melanda calon-calon gila kuasa ini. Jangan undi mereka. Cari pemimpin yang lebih baik. Pemimpin yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, pemimpin yang benar-benar menjaga hak orang Islam. Dan jangan pula kita sewenang-wenangnya memberi undi kepada golongan yang anti Islam. Sebagai penduduk yang majoriti dan bermaruah di negara ini, kita harus sama-sama mempertahankan hak kita sebagai warganegara Malaysia yang beragama Islam. Melayu-Cina-India-Dusun-Murut-Bajau-Bisaya-Kelabit dan sebagainya adalah kaum yang berbeza-beza budaya hidupnya. Namun dalam Islam kita adalah bersaudara selagi kita satu agama, dan selagi kita tidak merosakkan agama sendiri. Pemimpin politik Islam yang sanggup berjuang dengan mereka yang anti Islam dan yang suka menyalahgunakan agama islam untuk kepentingan politiknya harus disingkirkan daripada pentas politik negara Malaysia. Politik kotor harus dibersihkan dalam pilihan raya ke 13 nanti. Undi adalah rahsia, namun menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Berhati-hati dengan pemimpin politik yang suka bermuka-muka.

No comments:

Post a Comment