Sunday, August 28, 2011
Pemikiran Manusia : Lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain sekarang
BANYAK orang faham dan menerima bahawa zaman berubah. Pastinya apa yang ada sekarang tidak akan sama dengan dahulu. Lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain sekarang.
Jangka hayat manusia adalah puratanya bagi lelaki sekitar 70-an tetapi banyak yang mencapai 80 tahun dan tidak kurang yang terus lanjut usia sampai berumur 90, malah mencapai 100.
Tetapi ketika mencapai separuh abad, 50 hingga 60, manusia seolah-olah tidak boleh berkembang atau berubah.
Ada orang kata dengan mencapai umur 40, seseorang tidak boleh berubah dari segi sikap dan kebiasaannya. Justeru kalau hendak taubat, lakukanlah sebelum 40.
Tetapi ada orang kata pula, lepas 40 atau 50, seseorang sudah tidak boleh berubah. Sudah liat.
Tentunya lain orang, lain ragamnya.
Justeru ada kalanya apabila seseorang berusia 50 tahun umpamanya, cara fikir dan cara lakunya terhenti ketika usia 30 dan 40 tahun. Mungkin ada orang kata, biarlah kita berjiwa muda walaupun berusia tua.
Usahlah kita ikut usia hakiki. Perasaan muda supaya kita awet muda dan dapat menikmati hidup walaupun berusia.
Tetapi apa yang hendak dikatakan di sini bukanlah soal isu itu. Apa yang hendak disentuh di sini ialah cara fikir dan cara laku seseorang terhenti ketika usia 30 atau 40-an. Maksudnya ia berfikir dan bertingkah laku menurut zaman ketika seseorang itu berusia 30 atau 40-an. Walaupun usianya sudah mencapai 50-an atau 60-an. Maknanya bukanlah ia awet muda tetapi sebenarnya ketinggalan zaman.
Sebagai contoh, jika seseorang itu berusia 50 tahun pada 2011 ini, tetapi pemikirannya tersangkut ketika ia berusia 30 atau 40-an dahulu, maknanya cara fikir dan cara lakunya membeku menurut keadaan tahun 1980-an dan 1990-an. Bukannya tahun 2000-an ini, iaitu yang sepatutnya.
Di sinilah maksudnya seseorang yang tidak menerima perubahan zaman, tetapi bernostalgia dan hidup pada zaman silam, sedangkan dunia sudah berubah banyak
Tidak ada siapa yang dapat menafikan perbezaan dekad 80-an dan 90-an dibandingkan dengan 2000-an.
Tetapi kadangkala hanya teguran dan ingatan kepada mereka yang masih terbeku dalam suasana 80-an dan 90-an dapat mengejutkan mereka bahawa suasana telah banyak berubah.
Masalah ini mungkin tidak timbul bagi orang muda sama ada yang berusia 20-an dan 30-an. Ini kerana mereka sedang berada pada zaman kemuncak kehidupannya.
Sedangkan bagi mereka yang berusia 40-an dan 50-an, kemuncak kehidupan mereka sudah berlalu. Tetapi cara fikir mereka tersangkut pada zaman kemuncak kehidupan mereka.
Untuk memahami keadaan ini cuba bayangkan tahun-tahun 90-an. Apa yang tidak ada pada masa itu, tetapi ada pada masa ini.
Kalau dahulu, apabila hendak mendapat maklumat, cukup bagi seseorang untuk memperoleh maklumat dari bahan-bahan cetak serta radio dan televisyen.
Tetapi kini banyak saluran maklumat yang ada, bukan saja laman-laman web tetapi juga facebook dan twitter.
Jika seseorang mengabaikan saluran maklumat baru ini, maka ia cuba hidup dalam tahun 2011 dengan cara fikir serta cara laku tahun 90-an.
Mengapa keadaan ini berlaku adalah kemungkinannya perubahan berlaku terlalu pesat untuk manusia mengejar. Maka adalah orang yang ketinggalan.
Mendapat dan menyebarkan maklumat adalah satu hal. Tetapi terdapat banyak lagi perubahan yang berlaku membezakan tahun 2000-an dengan 90-an. Umpamanya ialah soal hierarki yang dipatuhi dengan jelas. Kini keadaan telah berubah dengan semua orang mempunyai akses setara.
Tidak ada kaum, bangsa, agama, warna kulit, bahasa atau jantina membezakan seseorang daripada yang lain. Inilah era 2000-an.Umpamanya kalau tahun 90-an dan sebelumnya, untuk menghubungi Perdana Menteri hanya boleh dilakukan melalui pos dan telefon yang akan dijawab oleh pegawai-pegawainya.
Tetapi kini seseorang boleh terus menghubungi bukan saja perdana menteri tetapi juga Presiden Amerika Syarikat melalui facebook dan twitter.
Sememangnya para pegawainya yang akan menguruskan perkara ini tetapi beliau sendiri boleh melihat apa yang dikirim ke akaun facebook dan twiternya.
Walaupun kemudahan ini ada tetapi ia tidaklah digunakan sangat oleh seseorang yang berusia 50-an contohnya. Bagi mereka yang berusia 30-an tahun ke bawah, adalah tidak menjadi masalah untuk menggunakan kemudahan ini.
Maknanya generasi 50-an masih terperangkap dengan cara fikir dan cara laku tahun 80-an dan 90-an.
Untuk menghadapi cabaran ini, mereka yang berusia 50-an mesti lepaskan nostalgianya terhadap tahun 80-an dan 90-an.
Jika teringat zaman-zaman itu pun, jadikannya sebagai perbandingan supaya dapat dilihat perbezaannya, dan seterusnya membebaskan minda daripada terperangkap dengan cara lama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment