Sunday, August 21, 2011

Bertuah jika dapat tinggal di Malaysia


WALAUPUN Kemboja merdeka pada 1953, hampir empat tahun lebih awal daripada Malaysia, rakyatnya masih belum dapat menikmati kehidupan lebih baik dan dihantui sejarah hitam pasca merdeka negara itu.

Sementara rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman damai dan kemakmuran sejak merdeka, rakyat di negara ini dibelenggu kemiskinan dan pernah menyaksikan pertumpahan darah yang dahsyat.

"Berdasarkan cerita waris di Malaysia, saya rasa lebih bertuah jika saya menjadi rakyat Malaysia berbanding hidup kami di sini yang dibelenggu kemiskinan dan kesan peninggalan perang," kata Yusof Arshad, 75, seorang penduduk Islam di Kampung Speu, Wilayah Kampong Cham, Siem Reap, Kemboja.

Beliau adalah antara ribuan Melayu Campa di wilayah itu yang pernah menjadimangsa perang saudara antara puak Khmer Rouge dan junta tentera dan yang terselamat daripada rejim kejam diktator Pol Pot (1975-1979) yang menyaksikan lebih satu juta orang dibunuh.

"Saya dengar di Malaysia penduduknya hidup aman damai walaupun dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.

"Keperitan hidup dan kesengsaraan menyebabkan saya benci dengan peperangandan kekacauan," katanya dalam loghat Melayu Kelantan kepada Bernama.

Yusof yang pernah ke Malaysia menuntut ilmu agama di Kelantan menjelaskan kekagumannya mengenai Malaysia kepada penulis yang mengiringi lima kakitangan dan 20 penuntut Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam lawatan akademik seminggu ke Kemboja, baru-baru ini.

Rombongan UMK itu yang diketuai Dekan FTKW Prof. Madya Ab Aziz Shuaib turut meninjau sejarah tamadun Angkor Wat dan kesan perang saudara dari wilayah Siem Reap hingga ke ibu negara Phnom Penh.

Nasib penduduk Melayu Campa di wilayah Kamponcham yang terletak antara Siem Reap dan Phnom Penh mendapat perhatian pelbagai pihak di Malaysia.

Mereka adalah golongan minoriti daripada 17 juta penduduk negara itu yang majoritinya beragama Buddha.

"Saya menunggu ketibaan rombongan khidmat masyarakat dari Malaysia, yang mengadakan majlis kenduri akikah atau korban sempena Hari Raya Haji setiap tahun," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati kehidupan penduduk Islam dan penduduk agama lain di situ rata-rata miskin dan mereka masih dihantui kesan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai.

Malah, rumah beratapkan nipah dan berdinding buluh selain kehidupan penduduk yang serba daif adalah pengamatan lazim sepanjang penjelajahan UMK dari Siem Reap ke Phnom Penh.

Selain itu, kebanyakan penduduk masih menggunakan perigi dan penggait buluh atau tali untuk mencedok air di samping ternakan lembu dan kerbau berkeliaran di tengah bendang yang kering kontang.

Semasa rombongan UMK menyusuri perkampungan air Tonle Sap yang bersambung dengan Sungai Mekong, penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk merayu simpati daripada orang luar.

Seorang penduduk bersama anak kecil dan isteri yang hamil mengejar bot rombongan UMK menggunakan sampan kecil berenjin galah untuk meminta sedekah.

"Mereka tidak menghiraukan keselamatan dengan meredah ombak dan arus deras," kata Noorhafizah Abd Razak seorang penuntut dalam rombongan UMK itu.

Selain itu, sekumpulan kanak-kanak menjerit ke arah rombongan UMK "One dollar sir, one dollar, sir" selain ada juga kanak-kanak yang menjual air tin bikarbonat yang dibawa dalam raga.

Rombongan itu sempat ke perkampungan Islam di Kampung Speu, Daerah Chamkarleu, Wilayah Kampungcham, serta mengadakan pertemuan dengan Mufti Kerajaan Kamboja iaitu Kamaruddin Yusof.

Di Masjid Anniakmah Kampung Cham, rombongan UMK mengadakan majlis penyerahan anak angkat kepada keluarga Islam yang diketuai Imam Masjid berkenaan, Yusof Ali.

Penuntut UMK yang menjadi anak angkat juga mengadakan program di masjid dan sekolah agama di situ. Mereka mengadakan kelas fardu ain, bahasa Inggeris, agama selain acara sukaneka melibatkan kanak-kanak usia tujuh hingga 15 tahun.

Sementara itu, Prof. Ab Aziz berkata, inilah kali pertama program lawatan seumpamanya dianjurkan UMK sejak ditubuhkan pada 2007 dan UMK adalah satu-satunya IPT yang menawarkan kursus Teknologi Kreatif dan Warisan.

Ab. Aziz berkata, lawatan ke beberapa tempat warisan bersejarah termasuk Wat Angkor, Wat Thom, Wat Banteay itu juga adalah kajian lapangan bagi penuntut FTKW.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment