Sunday, August 7, 2011

Masalah mata selepas usia 40 tahun


APABILA usia seseorang mencapai 40 tahun, keadaan matanya seolah-olah mengalami proses penuaan dengan cepat dan tanpa disedari perkara-perkara yang dahulunya mudah dilakukan seperti melihat paparan pada telefon bimbit atau membaca surat khabar kini menjadi semakin sukar.
Teknik-teknik pembedahan refraktif bagi mengatasi masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisma telah banyak diperbaiki dan diguna pakai semenjak ia diperkenalkan seabad yang lalu. Bertahun-tahun kajian dilakukan oleh para doktor pakar sehinggalah mereka berjaya menghasilkan teknik mengatasi masalah rabun tua dan refraktif semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.
Apakah presbyopia (rabun tua)?
Presbyopia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘mata yang tua’.
Ia adalah satu keadaan yang berlaku apabila usia manusia semakin meningkat. Semua orang akan mengalaminya pada satu jangka hayat termasuklah mereka yang tidak pernah menghadapi masalah penglihatan pada usia muda.
Ia bukanlah sejenis penyakit. Berbilion penduduk dunia mengalaminya.
Semakin usia meningkat, otot-otot di sekeliling kanta mata semakin lemah dan tebal, menyebabkan ia kurang fleksibel dan efektif.
Ini menyebabkan mata hilang keupayaan untuk berubah fokus apabila melihat objek pada jarak-jarak yang berlainan. Ini menghasilkan presbyopia.
Penghidap gejala ini akan mula mengalami pandangan kabur pada jarak dekat seperti sewaktu membaca, menjahit atau berhadapan dengan komputer.
Ini lazimnya akan terjadi kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Presbyopia kadangkala mengakibatkan sakit kepala dan keletihan mata.
Psedu-Accommodative Cornea (PAC)
Ia merupakan revolusi pembedahan bagi mengatasi masalah rabun tua atau presbyopia.
Pembedahan ini adalah penyelesaian bagi presbyopia dan sekali gus membetulkan rabun seseorang (sekiranya ada). Perisian laser ini dicipta dan telah dipatenkan oleh Dr. Alain Phillippe Telandro, seorang pakar pembedahan mata berbangsa Perancis yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun.
Sebelum PAC diperkenalkan, masalah rabun tua cuma dapat dirawati dengan bantuan cermin mata atau kanta multifocal.
Perisian laser PAC digunakan bersamaan prosedur LASIK, LASEK atau EpiLASIK bagi membentuk kornea menjadi kornea yang bersifat multifokal.
Bentuk kornea menjadi lebih mendatar di tengah (memberikan penglihatan jelas pada jarak jauh) dan mencuram ke arah tepinya (memberikan penglihatan jelas pada jarak dekat).
Ini dapat mengekalkan bentuk ‘prolate’ kornea dan seterusnya mengurangkan masalah silau pada waktu malam. Selepas pembedahan laser PAC, pesakit dapat menikmati penglihatannya sehingga usia lanjut.
Lebih daripada 80 peratus pesakit tidak memerlukan pemakaian cermin mata selepas menjalani pembedahan PAC. Ia membolehkan mereka membaca seperti ketika mereka berusia 20-an. Sebilangan kecil sahaja masih bergantung kepada pemakaian cermin mata dengan power yang rendah.
Rawatan lain untuk presbyopia
Cermin mata dan kanta lekap: Seandainya anda tidak ingin menjalani pembedahan, cara yang baik adalah dengan memakai cermin mata atau kanta lekap.
Cermin mata untuk membaca dengan kanta istimewa seperti kanta bifocal (mempunyai dua titik fokus penglihatan, satu untuk jarak jauh dan satu untuk jarak dekat) dan multifokal (menyediakan peralihan pandangan yang agak licin dari jarak jauh kepada jarak dekat) yang mudah didapati di pasaran.
Jika bifocal atau multifokal tidak memberikan keselesaan, ‘monovision’ adalah satu lagi pilihan lain.
Dengan monovision, mata yang dominan (mata yang digunakan untuk memfokuskan kamera) digunakan untuk pandangan jauh, dan mata yang sebelah lagi digunakan untuk melihat objek yang dekat secara serentak.
Rawatan Keratoplasti Conduktif (CK): CK adalah satu lagi pilihan pembedahan yang disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat untuk rawatan presbyopia.
CK menggunakan tenaga frekuensi radio (RF) menggantikan laser untuk membentuk kornea dan membantu pesakit yang menghadapi masalah penglihatan dekat.
Prosedur CK dilakukan dengan penggunaan alat (probe) yang sangat halus, lebih halus daripada sehelai rambut.
Tenaga RF dihasilkan dan rawatan dilakukan mengikut lingkaran bulat di sekeliling kornea untuk pengecutan sebahagian kecil tisu-tisu kornea. Rawatan memakan masa yang singkat, lebih kurang 10 minit bagi sebelah mata.
Corak lingkaran bulatan menghasilkan jalur pengetat (seperti pengikat tali pinggang) yang mewujudkan bentuk lengkung pada kornea. Ini menambah keupayaan mata untuk melihat objek dekat dengan lebih jelas. Dengan cara itu keperluan untuk membaca dengan cermin mata dapat dielakkan.
Pesakit tidak perlu memakai pembalut mata selepas rawatan dan selalunya boleh pulang dan bertugas seperti biasa pada keesokan harinya. Kekeringan mata akan dirasai selama beberapa hari.
Penggunaan titisan air mata tiruan (artificial tears) dapat membantu mengurangkan masalah kekeringan ini.
Penglihatan mula bertambah baik dalam masa seminggu
Rawatan ini tidak memerlukan pembedahan tetapi malangnya keputusan pembetulan penglihatan melalui kaedah CK adalah sementara. Ini kerana semakin usia meningkat penglihatan pesakit semakin pudar dan berkemungkinan mereka memerlukan cermin mata rabun tua.

- Artikel daripada OPTIMAX EYE SPECIALIST CENTRE SDN. BHD.

No comments:

Post a Comment