Monday, August 8, 2011
Bahasa Inggeris Wajib Lulus SPM
Isu kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar (Melayu) di negara ini, bukanlah isu baharu. Dah lama dah!, isu ini sekejap timbul sekejap tenggelam. Like biscuit merry...now you see now you dont. Maaflah saya bukan mahu menyindir sesiapa. Ini adalah kenyataan, situasi yang berlaku dalam sistem pendidikan kita. Dalam hal ini saya tidaklah pandai sangat bertutur dalam bahasa orang putih ni. Sikit-sikit boleh...lah.
Masalah kelemahan bahasa Inggeris yang dialami oleh pelajar-pelajar, khususnya pelajar Melayu/Bumiputera bukanlah kerana mereka tidak mahu belajar. Pada saya cara pelaksanaan mata pelajaran tersebut ketika ini agak lemah dan tidak terurus dengan baik. Pemikiran yang asyik menjurus kepada keputusan cemerlang dalam peperiksaan, menyebabkan para guru dan demikian juga pelajar ingin cepat menghabiskan sukatan pelajaran. Guru diarahkan menghabiskan sukatan pelajaran sebelum bulan Jun, manakala para pelajar tanpa segan-silu meluahkan perasaan bosan dengan cara pengajaran guru.
Pada saya aktiviti lisan itu sangat penting untuk memperbaiki kualiti pertuturan bahasa Inggeris pelajar. Aktiviti minggu bahasa Inggeris yang menarik seperti menyanyikan lagu-lagu Inggeris kegemaran pelajar harus digalakkan oleh para pentadbir sekolah. Janganlah kita asyik bertelagah dengan pemikiran yang kolot. Belajar menguasai pertuturan bahasa Inggeris bukanlah satu dosa kepada manusia. Tidak akan menjadi orang putih kalau orang Melayu belajar bahasa Inggeris. Kepentingan bahasa Inggeris dalam kehidupan kini yang penuh dengan persaingan ekonomi,harus menyedarkan kita (Orang Melayu). Sampai bila kita menjadi bangsa yang hanya tahu mengguna tapi tidak tahu mencipta, dan sampai bila kita menjadi bangsa yang hanya suka makan gaji daripada menjadi majikan yang mempunyai rakan niaga di seluruh dunia.
Akhirnya, saya cadangkan agar mata pelajaran bahasa Inggeris diwajibkan lulus untuk semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment