Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Thursday, March 17, 2011

Kajian Guru Cemerlang Tentang Penulisan Berkesan

PENGAJARAN PENULISAN BERKESAN : INPUT PENYEMAKAN DAN TEGURAN GURU TERHADAP PENULISAN ESEI PELAJAR
Oleh
Dr. Dhanapal Rengasamy
Guru Cemerlang Pengajian Am
SMK Tinggi Bukit Mertajam
Pulau Pinang

ABSTRAK

Kertas kerja ini mengkaji input penyemakan dan teguran guru terhadap penulisan esei pelajar tingkatan enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Seramai 54 orang pelajar telah dipilih dan diminta menulis esei jenis fakta. Tajuk esei telah meliputi laras sains dan laras sastera. Sebanyak 54 esei telah dihasilkan oleh pelajar. Kesemua esei tersebut telah menerima input penyemakan dan teguran guru-guru. Guru-guru telah disediakan satu prosedur penyemakan yang diubahsuai oleh penyelidik daripada Model Penulisan Grabe (1996), Penny (1996), Lee (2005) dan Roger (2001). Sebanyak 11 elemen kesalahan bahasa, organisasi dan mekanis penulisan telah dibina untuk membantu guru-guru menyemak esei jenis fakta Pengajian Am. Untuk tujuan kajian ini soalan Pengajian Am STPM tahun 2004 dan 2006 telah dipilih. Penyelidik telah membuat dua pemantauan ketika pengajaran penulisan berlangsung. Semasa pra pemantauan, pelajar-pelajar didapati amat lemah dalam penggunaan bahasa, organisasi karangan dan mekanisme. Setelah input penyemakan dan teguran dibuat maka terdapat perubahan dalam penulisan esei pelajar. Guru-guru menyemak hasil tulisan pelajar secara tidak langsung sebanyak dua kali. Guru-guru hanya menandakan, membulatkan dan menggariskan lokasi-lokasi kesalahan dalam esei. Pelajar-pelajar berinisiatif sendiri mencari kelemahan mereka dan menulis semula karangan tersebut. Proses ini berlaku sebanyak dua kali pada dua hari yang berbeza. Prosedur atau kaedah ini membolehkan pelajar belajar sendiri dan bersikap bangga kerana hasil tulisan mereka ditegur secara positif oleh guru. Pada akhir kajian ini, pelajar telah mengetahui gaya penulisan esei fakta yang betul dan dapat memahami ciri-ciri sebuah esei jenis fakta. Dapatan menunjukkan bahawa penyemakan dan teguran yang membina pasti membantu pelajar untuk menghasilkan penulisan esei yang mantap dan sempurna.

Keywords : Teaching Writing, Essay Assesment, Characteristics of Composition, Teachers’
Marking Procedure


1.0 Pengenalan
Pengajian Am merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar tanpa mengira jurusan pengajian. Pencapaian dalam mata pelajaran ini merupakan satu prasyarat untuk memasuki IPTA. Namun begitu kebanyakan pelajar tingkatan enam tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana mereka gagal memperoleh skor yang tinggi dalam Pengajian Am. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007). Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar masih lemah dalam menguasai pelbagai disiplin seperti sains sosial, kemanusiaan, sains tulen,sains gunaan dan perubatan dan kesihatan. Sukatan pelajaran Pengajian Am dengan jelas menggariskan bahawa pelajar perlu mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daipada semua bidang yang dipelajari. Pengetahuan mereka tidak tertumpu pada tajuk yang dibincangkan dalam bilik darjah tetapi merangkumi pelbagai masalah dan isu yang bersifat global.
Mengikut laporan prestasi Majlis Peperiksaan Malaysia, peratusan calon yang lulus Pengajian Am pada tahun 2006 adalah 78.58% bagi kertas 1 dan 73.85% bagi kertas 2. Pada tahun 2007, 77.74% bagi kertas 1 dan 74.98% bagi kertas 2. Bagi tahun 2008, 75.54% bagi kertas 1 dan 73.55% bagi kertas 2.(Laporan Prestasi MPM, 2006, 2007 dan 2008) Data jelas menunjukkan prestasi keseluruhan calon Pengajian Am, semakin merosot. Kertas kerja ini akan mengupas prestasi pelajar dalam kertas 2. Markah yang paling banyak diperuntukkan adalah bagi Bahagian A Karangan Laras Sastera sebanyak 25% dan Bahagian B Karangan Laras Sains sebanyak 25%. Jadi jika calon lemah dalam penulisan ini akan membawa impak kepada pencapaian keseluruhan calon dalam Pengajian Am.
Antara objektif sukatan pelajaran Pengajian Am adalah untuk membina kemahiran mengeluarkan fikiran yang logik, teratur dan berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi. Objektif ini dapat direalisasikan oleh pelajar dalam bahagian-bahagian karangan. Pada keseluruhannya mutu jawapan calon dalam bahagian karangan adalah sederhana. Kebanyakan calon tidak berupaya mengemukakan empat idea yang relevan seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kebanyakan calon hanya mampu mengemukakan dua atau tiga idea sahaja. Di samping itu huraian idea calon agak longgar dan kurang jelas. Malah dalam bahagian karangan laras sains, calon gagal mengemukakan idea sains. Idea yang dikemukakan adalah lebih berdasarkan pengalaman mereka sendiri atau keadaan semasa tanpa menjawab kehendak soalan (Laporan Prestasi MPM, 2006, 2007 dan 2008).


2.0 Latar belakang Kajian
Kajian ini dilakukan kerana terdapat pelbagai kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar khususnya pelajaran tingkatan enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Pelajar-pelajar menghadapi banyak masalah dalam penulisan esei laras sains dan laras sastera dalam bilik darjah. Antara masalah yang dikenal pasti adalah seperti berikut.

2.1 Tidak memahami kehendak soalan karangan
Kertas kerja ini ingin menyelongkar apakah punca-punca pelajar tingkatan enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang melakukan beberapa kesilapan sehingga mereka gagal memperoleh markah yang tinggi dalam karangan. Pelajar gagal mengemukakan idea berdasarkan kehendak soalan dan jenis-jenis kesalahan yang dilakukan oleh mereka dalam penulisan karangan. Antaranya pelajar gagal memahami kehendak soalan. Hal ini demikian kerana pelajar tidak memahami konsep-konsep yang terdapat dalam soalan karangan. Sebagai contohnya pelajar tidak memahami maksud ‘rasional” dalam soalan. Pelajar diminta membincangkan ‘rasional’ kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Akan tetapi kebanyakan pelajar menganggap rasional sebagai matlamat atau objektif. Sebenarnya pelajar telah mempelajari matlamat PLKN dalam kertas 1 iaitu di bawah tajuk Dasar-Dasar Kerajaan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pelajar tidak mengambil inisiatif untuk memikirkan maksud ‘rasional’ tersebut. Begitu juga dengan soalan yang memerlukan pelajar membuat ulasan tentang keperluan Malaysia menumpukan perhatian untuk meningkatkan sektor perindustrian tanpa meminggirkan pertanian. Kebanyakan pelajar menjawab satu aspek iaitu perindustrian sahaja tanpa membincangkan sektor pertanian. Hal ini menyebabkan pelajar kehilangan banyak markah.


2.2 Tidak dapat membezakan idea sains dengan idea sastera
Pelajar-pelajar juga sering melakukan kesilapan dari segi pemilihan kata-kata khusus. Dalam bahagian B, Karangan Laras Sains, pelajar perlu mengemukakan idea yang berunsur sains. Penguasaan kosa kata yang lemah menyebabkan pelajar tidak dapat membezakan istilah sains dengan istilah sastera. Bagi soalan yang berkehendakan idea sains seperti alam sekitar yang kotor membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia, pelajar menulis bahawa manusia akan kehilangan mata pencarian kerana mereka tidak dapat keluar untuk mencari rezeki dan sebagainya. Soalan ini sebenarnya memerlukan pelajar menulis idea seperti manusia terdedah kepada pelbagai penyakit, manusia akan kekurangan sumber makanan yang bersih dan sebagainya. Kesilapan lazim yang didapati ialah pelajar sering menggunakan idea ‘penguatkuasaan undang-undang’dan‘kempen kesedaran’ untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat .Antara punca kelemahan ini ialah pelajar-pelajar kurang membaca rencana atau makalah tentang sains, alam sekitar, kesihatan dan sebagainya. Justeru pelajar juga kurang berminat membaca dan malas berfikir.


2.3 Tidak dapat membezakan idea dengan huraian
Keadaan ini sering berlaku apabila pelajar-pelajar memasukkan idea dalam bentuk huraian. Adakalanya pelajar menghuraikan sesuatu pendapat secara umum dan dalam huraian umum tersebut terselitnya pula idea yang sepatutnya dikehendaki oleh soalan. Apabila ditegur pelajar menjawab bahawa mereka menyangka huraian tersebut boleh diterima sebagai idea. Hal ini berlaku kerana pelajar tidak dapat membezakan antara gagasan pusat dengan huraian. Gagasan pusat ialah tema yang mengandungi sesuatu permasalahan yang ditugaskan kepada pelajar untuk menulis. Pelajar menulis begini,”salah satu sebab berlakunya jenayah di negara kita ialah orang yang tidak bekerja ingin mencari makan. Untuk mendapatkan makanan, pakaian dan perlindungan mereka terpaks mencuri di taman-taman perumahan. Mereka mencuri barang-barang yang sempat dicuri di rumah orang untuk mengalas perut. malah ada yang tidur di koriodor rumah orang.” Dalam contoh huraian ini, pelajar tidak menulis idea secara jelas. Sebenarnya pelajar ingin menulis idea begini,”jenayah dilakukan untuk menampung keperluan hidup”. Jadi situasi ini jelas menunjukkan pelajar tidak dapat membezakan atau memisahkan idea daripada huraian.


2.4 Tidak menggunakan olahan atau pemerengganan yang betul
Memang menjadi amalan pelajar iaitu pelajar tidak menggunakan bilangan baris yang seimbang bagi keempat-empat idea yang dikemukakan. Pelajar lebih bias pada idea yang diminati dan disenanginya sahaja. Jika pelajar mempunyai pembacaan yang banyak tentang sesuatu idea, maka pelajar menulis huraian yang panjang. Jika idea tersebut sukar difahami maka pelajar menulis huraian yang agak pendek. Hal ini menunjukkan pembacaan mereka terbatas kepada bahan-bahan yang menjadi tarikan mereka sahaja. Dalam peperiksaan keadaan seumpama ini menyebabkan pelajar kehilangan markah ‘impak’.Dalam tajuk karangan ini, “kelebihan negara-negara membangun mewujudkan proses urbanisasi”, rata-rata pelajar mengemukakan dua idea iaitu, ‘proses urbanisasi dapat menjamin pekerjaan’ dan ‘meningkatkan taraf hidup rakyat’. Bagi idea yang pertama, pelajar telah menghuraikan banyak aspek seperti sektor perkilangan, perkhidmatan, pusat pentadbiran dan pusat beli-belah kerana kesemua kemudahan ini memerlukan banyak guna tenaga. Manakala bagi idea yang kedua pula, pelajar tidak dapat menghuiraikan lebih lanjut. Mereka menulis, “ taraf hidup rakyat meningkat kerana mereka sudah mempunyai peluang pekerjaan”. satu lagi kelemahan yang tertera di sini ialah pelajar mengulangi fakta yang disebut dalam idea pertama.


2.5 Tidak menggunakan bahasa yang gramatis
Mengikut pengalaman penyelidik, pelajar-pelajar yang memperoleh gred C dan ke bawah dalam bahasa Melayu di peringkat SPM, tidak menggunakan bahasa yang gramatis dalam penulisan. Mereka sering terpengaruh oleh bahasa ibunda dan bahasa basahan serta bahasa pasar. Antara kesilapan yang kerap dilihat ialah struktur ayat yang meleret panjang tanpa tanda bacaan yang betul, menggunaklan ejaan yang salah dan penggunaan diksi yang tidak betul. Pelajar menulis begini,” …adalah menjadi satunya sebab mengapa Malaysia boleh dikatakan negara maju kerana alam semuladinya belum dibuka habi-habis”. Contoh ini mempamerkan kedangkalan pengetahuan pelajar dalam penggunaan kata, istilah, tanda baca dan struktur ayat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang salah boleh menjejaskan pengungkapan makna. Penyelidik tidak memahami dengan tepat apakah yang ingin disampaikan oleh pelajar ini. Ayat ini sepatutnya, “… Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang maju jika sumber-sumber alam dapat diterokai sepenuhnya…” Satu lagi kesilapan yang menjadi trend sekarang ialah pelajar hanya menulis sebaris ayat sahaja untuk pendahuluan dan penutup. Pelajar harus ingat bahawa karangan ialah satu set wacana. Wacana ialah satu unsur bahasa melebihi satu ayat. Jika pelajar menulis sebaris ayat sahaja, maka pelajar gagal menulis wacana yang betul. Dalam hal ini markah bahasa pelajar berkenaan akan dipotong.


3.0 Objektif Kajian
Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji
1. gaya penulisan esei jenis fakta yang ditulis oleh pelajar
2. strategi-strategi guru Pengajian Am menyelesaikan masalah penulisan pelajar
3. gaya penyemakan esei jenis fakta oleh guru-guru Pengajian Am


4.0 Soalan Kajian
Berdasarkan objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
1.Sejauh manakah penyemakan esei-esei Pengajian Am jenis fakta dapat membantu meningkatkan kualiti esei pelajar- pelajar tingkatan enam atas?
2.Apakah strategi pengajaran yang digunakan oleh guru-guru Pengajian Am untuk menyelesaikan masalah penulisan pelajar?
3.Apakah gaya penyemakan yang digunakan oleh guru-guru Pengajian Am apabila menilai esei pelajar?


5.0 Sorotan Literatur
5.1 Pengajaran Penulisan
Penulisan merupakan satu kemahiran yang penting dalam pemerolehan bahasa. Penulisan bukan sahaja membantu pelajar dalam akademik tetapi juga membantu mereka untuk mencari pekerjaan dalam pasaran kerja nanti. Penulisan merupakan satu cabaran kepada guru dan pelajar kerana masing-measing perlu mempelajari teknik-teknik penulisan yang lebih baik. Semua guru bersetuju bahawa penulisan adalah sama penting seperti pembacaan, lisan dan pendengaran. Bagaimanapun penulisan masih dianggap sebagai satu kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai oleh guru dan pelajar.Apabila guru mengajar penulisan esei dalam kelas, mereka bukan sahaja mengajar pelajar menjana idea untuk menulis tetapi juga mengajar mereka menggunakan bahasa yang betul untuk mengungkapkan makna.
Lee (2005) berpendapat bahawa keberkesanan penulisan tidak sekadar mengajar teori-teori penulisan dalam bilik darjah malah guru perlu menggalakkan pelajar membuat penilaian kendiri. Penilaian kendiri ini menyebabkan pelajar-pelajar dapat mengetahui ciri-ciri penulisan pelbagai genre dalam bilik darjah. Dalam penilaian penulisan, guru dikehendaki menegur setiap kesilapan yang dilakukan oleh pelajar sama ada secara mekanis, organisasi atau bahasa. Untuk menegur kesilapan pelajar ini, guru boleh menggunakan satu sistem penyemakan yang mempunyai ciri-ciri penulisan yang baik.


5.2 Penyemakan
Salah satu cara untuk menghasilkan penulisan esei yang bermutu ialah guru perlu menyemak hasil tulisan pelajar dan memberi komen secara konstruktif. Pada penghujung penyemakan, guru perlu menjelaskan kepentingan komennya, kekuatan dan kelemahan penulisan pelajar. Penyemakan merupakan satu penilaian untuk memberi informasi tentang gaya penyampaian pelajar (Penny, 1996). Dalam konteks pengajaran, penyemakan merupakan informasi yang diberi kepada pelajar mengenai tugas pembelajarannya. Keadaan ini dapat membantu pelajar mengukuhkan gaya penyampaiannya. Penyemakan dan teguran oleh guru bukan untuk melemahkan semangat pelajar untuk menghasilkan penulisan. Pelajar akan memberi respons yang positif jika kesalahan mereka ditunjukkan dan dibetulkan. Cara ini dapat membantu pelajar mempelajari cara penulisan dengan lebih efektif (Roger, 2001).
Daripada kedua-dua definisi tadi ternyata bahawa penyemakan dan teguran guru adalah amat berguna dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu pelajar juga mempelajari bagaimana dapat menilai diri mereka dan membantu diri mereka memupuk keyakinan dalam pembelajaran dan setrusnya meningkatkan penyampaian mereka. Penyemakan dan teguran yang positif ini menggalakkan pelajar terus berkarya (Grabe dan Kaplan, 1996). Jadi dalam proses penulisan ini, guru sentiasa mendorong pelajar menulis esei-esei sehingga mereka benar-benar mahir.
Penyemakan guru merupakan tunjang dalam penulisan esei. Penyemakan dalam kajian ini dibataskan kepada penyemakan secara tidak langsung, iaitu guru memberi komen umum dan pelajar mengesan sendiri kesilapan mereka. Guru hanya menunjukkan lokasi-lokasi kesalahan dalam penulisan dengan menggaris, mewarna, membulat dan sebagainya tanpa memberitahu kesalahan mereka secara terang-terangan. Penyemakan tidak langsung ini membolehkan pelajar menulis semula esei dan dihantar kepada guru untuk dinilai semula.


5.3 Penyemakan Secara Tidak Langsung
Pelajar-pelajar tidak boleh menulis esei tanpa bimbingan guru. Penulisan ini bukan satu langkah tunggal tetapi merupakan satu proses. Dalam proses ini pelajar memerlukan bimbingan, sokongan dan nasihat guru daripada draf pertama hinggalah ke draf terakhir agar penulisan mereka menjadi lebih sempurna dan mantap. Oleh itu pelajar memerlukan seseorang untuk menyemak kesilapan yang dilakukan. Impresion dank omen yang diberikan oleh guru adalah lebih baik berbanding rakan sebaya pelajar kerana teguran yang dibuat oleh guru lebih menyeluruh dan meyakinkan pelajar untuk menulis draf-draf seterusnya (Ferris, 2002) Guru memberi peluang kepada pelajar untuk membetulkan sendiri kesalahan gramatis dan fakta dalam penulisan. Penyemakan dan teguran guru tidak boleh dianggap sebagai langkah terakhir untuk pelajar menulis dan menghantar penulisan. Penyemakan dan teguran ini hanya untuk draf-draf berkenaan sahaja. Penyemakan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memurnikan hasil penulisan mereka. Penulisan draf terakhir bergantung kepada guru jika guru berpuas hati dengan penulisan pelajar tersebut. Penulisan semula setelah dibuat pembetulan, akan mendorong pelajar untuk mengubah sikap terhadap penulisan. Malah kaedah ini juga membantu pelajar untuk mengemukakan idea dalam penulisannya dengan lebih jelas. (Chandler, 2003)


5.4 Ciri-Ciri Esei Jenis Fakta
5.4.1. Kejelasan dan Keterbacaan
Penulisan esei yang jelas ialah penulisan yang tidak samar atau kabur dari segi makna. Idea dan fakta yang disampaikan oleh pelajar adalah secara langsung,tersurat dan tidak mempunyai sebarang makna yang tersirat. Esei mempunyai aliran fikiran yang teratur dan logik. Dalam konteks ini pelajar menggunakan ayat-ayat yang pendek dan berasingan untuk setiap idea. Justeru teks tersebut harus mempunyai hubungan timbale balik antara ayat sebelumnya dan selepasnya (Penny, 1996)
5.4.2 Koheren
Koheren mempunyai tiga ciri iaitu keselanjaran, kepautan dan kesatuan. Keselanjaran ialah pelajar menerangkan keteraturan ungkapan idea dari mula hingga akhir bagi menyampaikan maksudnya. Kepautan ialah hubungan kebahasaan antara idea penulisan sama ada antara satu ayat dengan ayat lain dalam satu perenggan, atau perenggan dengan perenggan yang lain. Untuk mewujudkan kepautan dalam teks, pelajar boleh menggunakan penanda wacana seperti namun, maka, sungguhpun, bagaimanapun dan sebagainya (Ismail Ahmad, 1996). Kesatuan merujuk kepada perkaitan fakta-fakta yang digunakan untuk menyokong idea yang disampaikan mengikut topik esei.
5.4.3 Mudah dan Langsung
Gaya penulisan yang tidak berbunga-bunga dan pelajar terus kepada maklumat yang disampaikan. Ayat yang mudah ialah ayat yang mempunyai satu idea dalam sesuatu ayat. Ayat ini mempunyai satu subjek dan satu predikat. Bilangan perkataan yang digunakan hendaklah minimum tanpa mendatangkan kekeliruan atau keciciran maksud. Dalam konteks ini tiada perkataan yang tidak diperlukan. Pendek kata ayat tersebut tidak janggal dan harus mendukung makna (Gorys Keraf, 1984).


5.4.4 Variasi
Esei Pengajian Am terdiri daripada dua laras iaitu laras sains dan laras sastera. Pelajar harus bijak menggunakan variasi dalam ayat dan kosa kata. Jika tidak penulisannya akan menjadi monotomus. Variasi ini menghilangkan kebosanan pembaca. Pelajar boleh membina ayat ringkas dan ayat kompleks secara berselang-seli (Ismail Ahmad, 1996). Variasi kosa kata untuk membezakan laras juga boleh digunakan seperti istilah-istilah khusus penyakit, sains, teknologi dan sebagainya dalam laras sains dan istilah-istilah umum dalam esei laras sastera.


5.5 Penilaian Teknik Penulisan Pelajar
Dalam penilaian penulisan, lima komponen kualiti penulisan yang dianjurkan oleh Jacob (1981) telah digunakan oleh guru-guru. Lima komponen tersebut ialah kandungan, organisasi, kosa kata, bahasa yang gramatis dan mekanis. Kandungan bermaksud, pelajar harus mempunyai pengetahuan mengenai topik yang ditulis, pembinaan tesis dan kerelevanan idea dengan topik. Organisasi penulisan bermaksud pelajar menyampaikan idea dengan lancar, jelas dan disokong dengan bukti-bukti yang nyata. Penulisan pelajar hendklah berpusat (terarah), mempunyai binaan yang mantap, mempunyai urutan logik dan mempunyai kesatuan. Kosa kata terdiri daripada pemilihan diksi, pemilihan kata-kata yang bertenaga, penggunaan ungkapan yang segar, kepelbagaian kata dan menggunakan laras yang betul mengikut topik karangan. Penggunaan bahasa gramatis bermaksud, pelajar menggunakan jalinan ayat berdasarkan idea dan menyususn kata-kata mengikut nahu yang betul. Manakala mekanis merujuk kepada penggunaan tanda-tanda baca seperti noktah, koma, tanda soal, tanda seru, tanda ikat kata dan sebagainya (Jacob, 1981)


6.0 Kaedah Kajian
Pendekatan yang telah digunakan dalam kajian ini ialah kualitatif. Nota lapangan juga digunakan. Nota ini telah digunakan untuk mencatatkan proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kekuatan dan kelemahan pengajaran penulisan. Prestasi pelajar dalam bilik darjah juga telah direkodkan dan kemudian dibandingkan dengan hasil tulisan pelajar. Penyelidik juga telah merekodkan bagaimana guru tersebut menyelesaikan masalah penulisan pelajar. Di samping itu, penyelidik juga telah menyediakan borang pemantauan. Borang ini telah diedarkan kepada guru-guru yang mengajar penulisan. Guru-guru perlu menandakan ya atau tidak dalam ruangan aktiviti guru dan aktiviti pelajar. Borang ini telah diedarkan sebanyak dua kali. Setiap kali guru masuk ke kelas, guru tersebut membuat penyemakan dan teguran secara tidak langsung.


6.1. Instrumen Kajian
Instrumen dalam kajian ini ialah sebanyak 54 esei yang ditulis oleh seramai 54 orang pelajar tingkatan enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kesemua instrumen ini telah disemak dan ditegur oleh guru-guru yang mengajar penulisan Pengajian Am sebanyak dua kali. Penyelidik memantau instrumen yakni esei pelajar sebelum dan selepas penyemakan dan teguran guru. Empat tajuk instrumen telah ditetapkan. Kesemua instrumen ini adalah soalan perbincangan fakta STPM tahun 2004 dan 2006. Instrumen tersebut adalah seperti berikut:
1. Rasional kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
2. Keperluan Malaysia menumpukan perhatian untuk meningkatkan sektor perindustrian tanpa meminggirkan pertanian.
3. Alam sekitar yang kotor membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia.
4. Kelebihan negara-negara membangun mewujudkan proses urbanisasi.
6.2 Perincian Penyemakan dan Teguran
Penyemakan dan teguran dibuat berdasarkan satu panduan yang telah disediakan oleh penyelidik. Panduan tersebut terdiri daripada 11 elemen pembetulan. Guru hanya menandakan kod-kod tertentu dalam esei pelajar. Kod tersebut ialah PK- kesalahan pemilihan kata, KS-kesalahan penggunaan kata sendi, KW-kesalahan penggunaan keterangan waktu, PL-pertentangan logik, KE-kesalahan sistem ejaan. IM-kesalahan penggunaan imbuhan, OL-kesalahan agihan perenggan mengikut idea atau huraian, ^ -perkataan tercicir, ?-makna idea atau huraian samar atau kabur, BAIK-jika esei tersebut baik dari segi perkataan, idea, huraian dan sebagainya dan SP-susunan perkataan jika urutan ayat salah.


6.3 Prosedur Penyemakan dan Teguran Guru Terhadap Penulisan Esei Pelajar
Prosedur yang telah digunakan dalam kajian ini adalah seperti berikut:
1.Guru menerangkan karangan jenis fakta secara umum dan menjelaskan kod-kod yang
digunakan oleh guru semasa menyemak esei pelajar.
2.Pelajar memikirkan kehendak soalan dan merangka karangan
3.Pelajar menulis draf yang pertama
4.Guru memberi respons terhadap draf pertama dengan memberi penekanan terhadap semua
aspek penulisan dan tumpuan khusus telah diberikan pada penggunaan bahasa dan
organisasi esei. Kemudian guru mengembalikan esei kepada pelajar.
5.Pelajar memberi perhatian pada kod dan komen yang diberi oleh guru dan menulis semula esei buat kali kedua.
6.Sekarang draf pertama dan kedua telah dihantar kepada guru.
7.Guru menyemak dan memberi respons terhadap draf kedua serta memastikan pelajar dapat menulis esei dengan baik kali ini.
8.Setelah guru memulangkan draf kedua, pelajar dikehendaki menulis semula esei mereka dengan melakukan pembetulan.
9.Guru memberikan gred dan memuji pelajar kerana telah menyiapkan draf terakhir.



7.0 Skop Kajian
Secara khususnya kajian ini menyelidik sama ada kebolehen penulisan pelajar meningkat atau tidak setelah penulisan tersebut menerima penyemakan dan teguran guru. Penyemakan dan teguran yang diberikan adalah secara tidak langsung. Semua esei pelajar telah dinailai berdasarkan dua aspek penilaian penulisan iaitu bahasa yang digunakan oleh pelajar dan organisasi karangan. Aspek lain yang dikaji ialah penulisan esei jenis fakta iaitu esei laras sains dan sastera. Hanya dua aspek ini sahaja diberikan perhatian kerana berdasarkan pra pemantauan, penyelidik telah mendapati hamper semua pelajar mempunyai masalah dalam aspek penulisan dan pelajar boleh mengukuhkan keupayaan menulis jika guru membantu dengan memberikan penyemakan dan teguran yang membina. Responden dalam kajian ini ialah seramai 54 orang pelajar dari tiga buah kelas tingkatan enam atas. Instrumen yang digunakan ialah 27 buah esei laras sains dan 27 buah esei laras sastera.


8.0 Dapatan Kajian
Berdasarkan pemantauan penyelidik, sebelum penyemakan dan teguran terdapat banyak kesalahan penulisan esei dilakukan oleh pelajar khususnya dalam penggunana bahasa dan organisasi esei. Masalah pelajar dalam penulisan esei telah dihuraikan dalam bahagian latar belakang kajian. Tajuk karangan yang sama telah diberi kepada pelajar dalam kajian ini supaya penyelidik dapat memastikan prosedur penyemakan dan teguran yang dianjurkan oleh penyelidik dapat membantu pelajar meningkatkan kualiti penulisan.

Empat tajuk esei yang dinilai ialah:
1. Rasional kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
2. Keperluan Malaysia menumpukan perhatian untuk meningkatkan sektor perindustrian tanpa meminggirkan pertanian.
3. Alam sekitar yang kotor membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia.
4. Kelebihan negara-negara membangun mewujudkan proses urbanisasi.


Berikut ialah hasil penulisan yang telah melalui penyemakan dan teguran sebanyak dua kali yakni setelah menyiapkan dua draf. Penyelidik dapat mengkaji esei yang telah dimurnikan oleh pelajar. Pelajar telah memperlihatkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam penulisan esei mereka.
Pertama, sebelum memilih tajuk esei, pelajar telah sedar bahawa mereka perlu mempunyai pengetahuan yang secukupnya mengenai tajuk yang dipilih. Terdapat beberapa orang pelajar telah menguasai beberapa bidang pengetahuan dengan mendalam seperti kawalan biologi, alam sekitar, urbanisasi dan PLKN. Pelajar sedar bahawa pengetahuan am sahaja tidak memadai untuk menghasilkan esei yang berkualiti malah mereka perlu menguasai pelbagai bidang. Penyelidik mendapati sebilangan pelajar menyediakan fail-fail tertentu untuk menyimpan segala catatan, keratan akhbar dan salinan fotostat bahan sebagai rujukan mereka.


Kedua, pelajar berjaya memahami kehendak soalan esei. Didapati pelajar-pelajar menggaris atau mewarna kehendak soalan dan kata kunci soalan dalam tajuk esei. Mereka juga dapat membezakan konsep-konsep supaya mereka tidak terjebak atau sesat fikiran. Hal ini membolehkan pelajar tidak menyimpang daripada persoalan utama atau tema esei. Pelajar dapat membezakan penyataan soalan dengan kata kunci soalan. Mereka sedar bahawa penyataan soalan adalah untuk mencungkil idea untuk menulis esei. Ada kalanya dalam penyataan soalan juga terdapat kehendak soalan. Hal ini dapat difahami oleh pelajar.


Ketiga, pelajar juga berjaya mewujudkan koheren dalam penulisan mereka. Esei pelajar sememangnya tertumpu pada tajuk. Oleh itu ketika memilih idea-idea, mereka amat berhati-hati. Di samping itu esei pelajar memperlihatkan keseimbangan dan pembahagian fakta dengan tepat. Mereka berjaya membahagikan bilangan baris bagi setiap huraian ideanya. Kebanyakan pelajar mencatatkan sekurang-kurangnya empat huraian kecil bagi setiap idea. Mereka telah berjaya menggabungkan ayat-ayat shingga menjadi perenggan atau satu wacana.


Keempat, pelajar telah berjaya membezakan idea sains dengan idea sastera. Setelah disemak dan ditegur oleh guru dalam kedua-dua draf sebelum ini, pelajar telah mengemukakan idea laras sastera seperti tindakan undang-undang, sikap, kos dan kempen bagi esei laras sastera. Pelajar juga berjaya mengemukakan idea sains seperti bahan fosil, pembangunan lestari, amalan kitar semula, merawat sisa-sisa industri dan bahan kumbahan.


Kelima, pelajar juga telah menguasai mekanis penulisan esei. Setelah disemak dan ditegur oleh guru, pelajar sangat berhati-hati apabila menggunakan kata, frasa dan ayat. Pelajar telah mencuba menggunakan sistem ejaan, imbuhan dan tanda baca dengan betul. Ayat-ayat terbalik jarang-jarang ditemukan dalam penulisan esei. Pelajar juga berhati-hati menggunakan perkataan kerana mereka sedar bahawa penggunaan perkataan yang salah boleh membawa kepada makna yang salah. Dari segi olahan pula, pelajar mencuba sedaya-upaya menghuraikan satu idea dalam satu perenggan sahaja.


9.0 Perbincangan
Input-input guru yang mengajar penulisan esei adalah sangat penting untuk memupuk dan mencungkil minat pelajar menulis esei dengan baik dan mantap. Penyemakan dan teguran yang dibuat oleh guru adalah dua input yang amat berkesan dalam pengajaran penulisan dengan lebih berkesan. Memang tidak dapat dinafikan guru-guru sekarang menyemak esei pelajar dengan teliti. Namun masih terdapat sebilangan guru menyemaknya secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Mereka tidak membantu pelajar mengesan dan mengenal pasti lokasi-lokasi kesalahan dalam karangan. Malah ada yang memberikan markah atau gred secara keseluruhan tanpa memperincikan markah mengikut aspek-aspek penulisan.


Kajian ini berjaya mengemukakan satu prosedur yang membantu guru-guru dalam menyemak esei pelajar. Guru-guru tidak boleh memberi alasan bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk membaca draf esei pelajar sebanyak dua kali. Hal ini kerana mereka terpaksa mengajar lebih daripada dua kelas. Kaedah ini boleh digunakan sebulan sekali. Setiap kali guru masuk ke kelas untuk mengajar kertas dua, guru boleh mengambil sedikit masa untuk membuat teguran. Kerja-kerja penyemakan boleh dilakukan sewaktu guru lapang. Teguran boleh dibuat dalam kelas. Lagipun guru tidak perlu bersyarah untuk membuat teguran tersebut kerana guru telahpun menyemak esei tersebut secara tidak langsung dengan menggunakan kod-kod yang telah ditetapkan.


Proses penulisan dalam hidup pelajar adalah satu proses jangka panjang. Penulisan tidak terhenti di sekolah ataupun di dewan peperiksaan sahaja. Apabila pelajar menjadi seorang dewasa dan berkerjaya, maka penulisan tersebut masih diperlukan seperti menulis laporan prestasi organisasi, surat-menyurat, permohonan jawatan dan sebagainya. Seperti mana disentuh dalam pengenalan kajian ini, penguasaan pelajar dalam bidang penulisan esei membantu mereka mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan STPM nanti.


Penulisan esei yang efektif membantu pelajar dalam subjek-subjek lain seperti mata-mata pelajaran sains dan kemanusiaan. Penulisan esei Pengajian Am menuntut supaya pelajar menggunakan bahasa dengan baik untuk melahirkan idea. Idea yang dicetuskan itu pula memerlukan satu mekanisme untuk menghuraikannya. Tanpa penguasaan bahasa sudah tentu pelajar tidak dapat menghasilkan esei yang bermutu. Jadi para pendidik hendaklah memberi penekanan pada penguasaan bahasa pelajar. Di samping itu sebagai pendidik kita juga hendaklah sentiasa menggalakkan pelajar untuk membaca, meneroka dan mencari idea-idea baru bagi sesuatu tajuk yang diberi. Dalam hal ini pusat sumber sekolah, perpustakaan awam, pembelian majalah dan surat khabar oleh sekolah bolehlah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru.


Input-input penyemakan dan teguran sama sekali tidak boleh dipandang enteng oleh para guru. Pelajar sangat suka jika kerja mereka ditegur secara membina dan positif. Pelajar memang ingin belajar daripada kesilapan mereka. Maklum balas positif ini merupakan satu penilaian umum dan memberi informasi kepada pelajar untuk menghindarkan kesilapan-kesilapan pelajar dalam penulisan pada masa akan datang. Penyemakan dan teguran guru memudahkan mereka untuk merungkaikan masalah penulisan pelajar iaitu pelajar dapat memahami kehendak soalan karangan, pelajar dapat membezakan idea sains dengan idea sastera, pelajar dapat membezakan idea dengan huraian, pelajar dapat menggunakan olahan atau pemerengganan yang betul dan dapat menggunakan bahasa yang gramatis


10.0 Kesimpulan
Secara keseluruhan, kajian ini telah menunjukkan bahawa input penyemakan dan teguran guru yang positif dalam penulisan esei telah membantu pelajar menghasilkan penulisan esei yang menepati ciri-ciri penulisan esei fakta iaitu koheren, jelas, mudah difahami dan bervariasi. Input mereka juga menjadikan esei pelajar lebih terorganisasi dan pelajar dapat menguasai teknik penulisan esei jenis fakta dengan berkesan. Kajian ini juga telah berjaya mencapai objektifnya iaitu pelajar dapat mempelajari gaya penulisan esei jenis fakta, guru-guru dapat mengetahui strategi-strategi untuk menyelesaikan masalah penulisan pelajar dan guru-guru juga dapat mengetahui gaya penyemakan esei jenis fakta.

RUJUKAN
Chandler, J. (2003). The efficacy of various kinds of error feedback for improvement in the accuracy and fluency of L2student writing. Journal of Second Language Writing, 12(3), 267-296.
Ferris, D. R. (2002). Treatment of Error in Second Language Student Writing. Ann Arbour: University of Michigan Press.
Gorys, Keraf.(1984). Diksi dan Gaya Bahasa- Komposisi Lanjutan. Penerbit Gramedia :
Jakarta
Grabe, William & Robbert B. Kaplan. 1996. Theory and practice of Writing. United States of America. Addison Wesley Longman.
Ismail Ahmad (1996). Penulisan Saintifik. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur
Jacob (1981). Testing composition Profile: A Practical Approach. Rowley MA. New Bury
House

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007). http://online2.mohe.gov.my/stpm/panduan/bkpk

Lee, Icy. 2005. Enhancing the Effectiveness of Teacher Feedback in the Secondary Writing
Classroom. Chinese University of HongKong.

Majlis Peperiksaan Malaysia (2006,2007,2008) Laporan Prestasi Calon STPM. MPM:
Selayang
Penny. (1996). A Course in Language Teaching Practice and Theory. Cambridge Teacher
Training and Development. United Kingdom: Cambridge University Press.

Roger, Jenny. 2001. In Adults Learning; Buckingham: Open University Press (online). Retrieved
on January, 23 2008. www.findarticles.com/ articles/feedback/

2 comments:

  1. tahniah..satu kajian yang baik...
    kajian anda telahpun saya aplikasikan di dalam kelas...so far so good..

    ReplyDelete
  2. Kajian ini dapat membantu saya membimbing pelajar untuk menghasilkan penulisan esei yang lebih baik, terima kasih Dr. Dhanapal Rengasamy.

    ReplyDelete