MALAYSIA dikenali di seantero dunia sebagai negara yang kaya dengan sumber hasilnya, mewah sosio ekonominya dan begitu banyak sekali peluang perniagaan untuk diterokai. Buktinya, kajian menunjukkan kebanyakan warga India yang 'hilang' di Malaysia, mengambil peluang bekerja sebagai tukang gunting rambut atau pekerja restoran. Mengapa rakyat tempatan khususnya bumiputera tidak merebut peluang untuk membuka perniagaan gunting rambut?
Memang bunyinya agak lucu tetapi jika diamati, di mana-mana sahaja kawasan, daerah atau negeri, majoriti tukang gunting rambut adalah orang India, yang rata-ratanya berasal dari India, Bangladesh atau Sri Lanka. Orang Melayu atau bumiputera sendiri pun suka pergi ke kedai gunting rambut bangsa asing ini. Mungkin kerana tiada kedai gunting rambut orang Melayu atau adakah orang Melayu tidak pandai menggunting rambut? Jika dibuat analisis dari segi ekonomi, berapa agaknya jumlah pendapatan terkumpul bagi industri gunting rambut?
Pendatang asing yang tiba ke negara ini sentiasa mencuri peluang yang tidak mahu diambil oleh rakyat tempatan. Pendatang dari negara Indonesia menjual ubat, berniaga pakaian, menjual makanan dan terlibat secara aktif dalam bidang pembinaan. Pendatang dari negara Pakistan pula menjual karpet, sejadah dan peralatan untuk orang Islam. Manakala pendatang dari negara India memonopoli perniagaan nasi kandar, restoran 24 jam, kedai gunting rambut dan sebagainya. Sebahagian daripada mereka yang mendapat taraf Penduduk Tetap telahpun menjadi taikun, kaya raya atau istilah popular - 'jutawan senyap'.
Kos sara hidup yang terus menekan ketika ini sewajarnya membuka mata orang Melayu untuk terlibat secara aktif di dalam perniagaan. Sudahlah orang Cina sejak dahulu menguasai ekonomi, ditambah pula dengan pendatang asing, maka apa lagi yang tinggal untuk orang Melayu? Majoriti masyarakat Melayu suka memilih kerja makan gaji dan menjadi masyarakat pengguna. Ramai orang Melayu memilih untuk menjadi guru, doktor, jurutera dan pelbagai profesion profesional yang lain. Tahniah untuk itu. Tetapi terfikirkah kita, jawatan-jawatan tersebut telah mencapai tahap 'tepu'. Kebanyakan jawatan tersebut telah dipenuhi dan semakin kurang penawarannya kepada mahasiswa yang bakal bergraduat. Tahun demi tahun pula, jumlah graduan semakin bertambah. Akhirnya 'penganggur terhormat' terhasil.
Bagi anak Melayu yang berjawatan profesional seperti jurutera dan akauntan pula, mereka ini akan memenuhi kerja di syarikat asing dan bangsa asing. Berapa pula syarikat milik Melayu yang mampu mengambil pekerja profesional dari kalangan anak Melayu? Bagaimana pula dengan kuasa membeli masyarakat Melayu? Adakah sekadar membeli tanah dan aset di pinggir kampung sahaja? Siapa pula yang menduduki rumah-rumah dan bangunan kedai mewah di Kuala Lumpur dan Shah Alam?
Status mencapai negara maju pada tahun 2020 hanya tinggal 10 tahun lagi dari sekarang. Jika perkara-perkara ini tidak diperhalusi dan diambil berat, ditakuti masyarakat Melayu akan hanya menjadi masyarakat terpinggir ketika Malaysia berada di ambang negara maju. Cubalah perdengarkan lagu 'Anak Kecil Main Api' dari sekarang agar ia mampu dijadikan pembakar semangat dan membuka jalan bagi kita meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara. ( Dipetik daripada Utusan Malaysia 15 Januari 2010 : Sharul Azlan maulod)
No comments:
Post a Comment