Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Tuesday, October 19, 2010

Memperkasa generasi muda dalam Bajet 2011

GENERASI muda adalah tonggak dan harapan masa depan negara. Kekuatan sebuah negara bergantung kepada kecemerlangan generasi muda. Malaysia juga tidak terkecuali. Justeru, Bajet 2011 yang diumumkan pada Jumaat minggu lalu banyak menekankan mengenai strategi untuk memperkasakan generasi muda.

Strategi-strategi ini jika dapat dilaksanakan secara berkesan, hasilnya sudah tentu amat menguntungkan negara dalam tempoh jangka masa panjang. Sebagai contoh, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah, kreativiti, inovasi dan daya saing. Lima elemen ini merupakan perkara terpenting untuk memperkasakan generasi muda.

Sistem pendidikan yang sedia ada hanya mencakupi kecemerlangan pendidikan berasaskan peperiksaan semata-mata. Generasi muda perlu diasuh agar mempunyai daya pemikiran yang tajam dan dapat menyelesaikan masalah dengan segera menggunakan kaedah yang paling tepat.

Pengumuman untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2016 dan mengubah suai kaedah penilaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) agar tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata, merupakan pemangkin untuk menjadikan generasi muda lebih kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tajam.

Suasana dan keadaan masa depan bukan ditentukan oleh sistem peperiksaan tetapi bagaimana sesuatu permasalahan dapat diselesaikan dengan segera menggunakan segala latihan, kemahiran dan pengetahuan yang telah diberikan kepada generasi muda.

Rombakan sistem pendidikan negara mestilah disusuli dengan penerapan latihan, kemahiran dan pengetahuan terkini dari sekolah rendah lagi.

Ini akan membolehkan para pelajar mengetahui apakah bidang pilihan mereka nanti apabila berada di peringkat sekolah menengah. Tidaklah membuang masa mereka menghadapi suasana peperiksaan semata-mata, sedangkan minat mereka lebih kepada latihan dan kemahiran teknikal.

Elemen kedua pula mengenai sahsiah. Meskipun tujuan utama pendidikan untuk menjadikan seseorang pelajar bersahsiah mantap, namun apa yang kita nampak pada masa kini, generasi muda terumbang-ambing dengan pelbagai masalah sosial. Tanpa sahsiah yang mantap, cemerlang macam mana pun seseorang pelajar, mereka tidak mampu menjadi pemimpin terbaik untuk generasi mereka.

Sahsiah yang mantap termasuklah elemen integriti yang mesti ditanamkan sejak kecil lagi. Sudah tentu kita tidak mahu lihat, generasi muda akan datang amat cemerlang dalam segala bentuk tetapi kekurangan integriti sehingga terjebak dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan.

Elemen kreativiti dan inovasi pula, sesuatu yang dijangka akan ditekankan dalam Bajet 2011. Kita kekurangan masyarakat yang kreatif dan inovasi. Justeru itu, generasi muda seharusnya dipupuk agar lebih kreatif dan inovasi. Kedua-dua elemen ini merupakan tunjang kepada penciptaan dan reka bentuk terbaru. Ini sudah tentu akan memperbanyakkan lagi ekonomi baru untuk negara berbanding dengan hanya bergantung kepada ekonomi tradisional yang sedia ada.

Lebih ramai generasi muda yang kreatif dan inovasi, lagi banyaklah pembukaan industri ekonomi baru yang menguntungkan negara secara keseluruhannya.

Apabila keempat-empat elemen ini dapat diterapkan kepada generasi muda, mereka akan lebih bersedia berhadapan dengan apa sahaja. Tidak gentar atau kurang persiapan. Mampu bersaing bukan sahaja di negara sendiri tetapi di mana-mana negara di dunia.

Satu lagi elemen yang sewajarnya diterapkan kepada generasi muda adalah berkaitan dengan jati diri mereka. Kelima-lima elemen yang disebut di atas sememangnya dapat memperkasakan generasi muda.

Tetapi tanpa jati diri yang jitu, mereka akan lebih mudah terpengaruh dengan budaya asing. Bahkan, tanpa jati diri yang kuat, generasi muda akan mudah melupakan asal usulnya. Mereka lebih senang mengamalkan budaya luar yang kurang manis berbanding budaya sendiri.

Lebih teruk lagi jika mereka berbangga dengan budaya luar sehingga memperlekehkan budaya sendiri, kononnya ketinggalan zaman atau tidak mengikut arus pemodenan. Generasi muda perlu diasuh dengan jati diri yang mantap. Tidak mudah diusik dengan pelbagai perubahan dan peredaran semasa atas slogan pemodenan sehingga menyebabkan mereka mudah untuk dipengaruhi.

Kita sudah tentu tidak mahu negara kita dipimpin oleh generasi masa depan yang mudah terpengaruh dengan budaya asing. Memang benar bukan kesemua arus pemodenan dan perubahan perlu ditolak mentah-mentah.

Namun, itu tidak bermakna apa sahaja yang diperkenalkan oleh negara asing diterima sebagai budaya terkini. Jika ini diamalkan, nescaya pemimpin masa depan negara hanya mengamalkan gaya kepimpinan ikut-ikutan sahaja.

Apa yang sebaiknya adalah jati diri dan sikap cintakan negara tanpa berbelah bagi diterapkan kepada generasi muda negara. Apabila ini dapat diterapkan, tidak kira sekuat mana arus perubahan dan peredaran semasa, mereka tetap memikirkan bagaimana untuk mempertahankan dan berbakti untuk negara mengikut acuan dan budaya sendiri bagi menjadikan negara ini tetap unggul setiap masa.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment