Tuesday, October 12, 2010

Usaha Tangga Kejayaan


“Usaha Tangga Kejayaan” kata-kata ini sudah banyak kali kita dengar. Setiap mereka yang telah mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi, pastinya ungkapan kata-kata bestari yang diwarisi sejak zaman-berzaman ini menjadi azimat dan panduan kepada setiap insan yang inginkan kejayaan. Hari ini apabila aku melawat laman web social Facebook, banyak gambar majlis konvokesyen dihantar oleh rakan-rakan dan bekas pelajar . Ucapan spontan yang terdengar dari hatiku pada saat melihat gambar-gambar para graduan ialah “Tahniah”. Lalau sepantas itu ku rakamkan ucapan ikhlas tadi kepada mereka yang berjaya menamatkan pengajian sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah. Walau apapun jenis Ijazah yang berjaya digapai, perasaan syukur kepada Tuhan dan ucapan terima kasih haruslah diberikan kepada mereka yang telah banyak berkorban sehingga anda berdiri megah di atas pentas menerima skrol dan tersenyum lebar menghadap lensa kamera yang datang dari pelbagai sudut. Waahh!! bagai bintang popular rasanya.

“Usaha Tangga Kejayaan” memang telah banyak dibuktikan oleh mereka yang telah terdahulu mencapai kecemerlangan dalam hidup. Ramai tokoh akademik, usahawan, pemimpin politik, para saintis, pakar-pakar motivasi menggunakan kata-kata hikmat ini apabila mereka berbicara tentang kejayaan kepada masyarakat di sekelilingnya. Seorang ibu sejak anaknya lahir kata-kata perangsang seperti “Nak! Kalau sudah besar pergi sekolah, belajar rajin-rajin supaya boleh masuk ke univerisiti” Si Bapa pula sentiasa menjanjikan hadiah yang mahal sebagai perangsang kepada anak-anak kesayangannya,untuk belajar bersungguh-sungguh agar apabila dewasa tidak hidup dalam kemiskinan. Seorang guru walau apapun warna kulitnya, bangsanya serta agamanya, kejujuran dan keikhlasan mendidik sentiasa menjadi keutamaan dengan harapan anak-anak didiknya berjaya dalam pelajaran sehingga ke puncak menara gading.

“Usaha Tangga Kejayaan” bukan untuk orang bandar tapi juga untuk orang yang tinggal di kampung. “Usaha Tangga Kejayaan” bukan untuk anak-anak pegawai kerajaan sahaja tapi untuk anak-anak petani dan nelayan juga. Sesungguhnya kejayaan dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada semua manusia, kerana manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaanNYA. Gunakanlah akal dan fikiran yang waras untuk perkara-perkara yang baik sementara nyawa masih dikandung badan.

No comments:

Post a Comment