Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011 : Majlis Konsultasi Gaji Negara

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang menjadi platform utama dalam penetapan gaji minimum.

Beliau berkata, majlis tersebut akan dianggotai oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu manakala Kementerian Sumber Manusia akan bertindak sebagai sekretariat.

“Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610 (sebelumnya).

“Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap,” katanya sewaktu membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menguatkuasakan gaji pokok minimum pengawal keselamatan antara RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.

“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011,” katanya.

Turut diumumkan Perdana Menteri ialah pelancaran Dana Pencen Swasta pada tahun 2011 untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Katanya, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

“Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia akan dilaksanakan bermula Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen dengan yang pertama membabitkan kos RM200 juta untuk latihan sambilan pada sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih.

Katanya, ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan kemudahan sedia ada.

“Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik.

“Pada hujung minggu pula, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

No comments:

Post a Comment