Sunday, October 31, 2010

RUKUN NEGARA



Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak;

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;

Memelihara satu cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat
dinikmati bersama secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liveral terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya
yang kaya dan pelbagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan
sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia berikrar akan
menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut
berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut;

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Saturday, October 30, 2010

Cara Menjaga LCD Handphone


Jika handphone anda masih dalam warranty sebaiknya jangan melakukan perubahan atau dalam bahasa Inggeris "Modification". Kalau rosak tiada ganti rugi.

Pada kebiasaannya setiap handphone "touch screen" akan mengalami masalah pada bahagian LCD selepas 2 tahun digunakan. Jika demikian datanglah ke servis rasmi untuk membaikinya.

Jangan rajin goncang-goncang handphone anda. Maklumlah paparan skrin akan berubah-ubah bila digoncang. Canggihlah...katakan! LCD akan mudah rosak jika anda suka goncang-goncang handphone semata-mata nak tunjuk kecanggihannya.

Jangan gunakan kuku yang tajam (biasanya kaum perempuan) bila gunakan aplikasi "touch screen" biasakan pakai pen yang telah disediakan. Kuku yang tajam boleh mengoyakkan skrin. kalau dah koyak...abislah...LCD jadi gelaaap... saja.

Jangan dedahkan handphone anda pada cahaya matahari yang tengah panas terik. Ini akan mengurangkan kualiti kristal pada LCD.

Jangan jatuh sehingga pecah skrin handphone. Kalau suka pakai tali dan gantung pada leher. Kalau mau smart lagi...beli sarung "beg" lekat di pinggang. ceh..!!! macam pegawai koprat. Jangan jadi keparat sudah. Bergaya tapi penjahat. Perempuan kurang masalah...sebab handphone dalam beg sikut. Cuma masalahnya...dalam beg sikut tu banyak benda lain. Gincu...mekap...pencabut bulu kening...gunting bulu kaki...kacip kuku...kunci kereta...tisu...ehh!! banyaknya..sampai susah mau cari handphone bila ada call. Tapi itu aku tak hairan...biniku pun sama juga, dalam begnya macam-macam ada. Ok..lah itu saja perkongsian yang sempat saya tulis hari ini. Selamat menjaga handphone yang mahal...tu.

Friday, October 29, 2010

5 Sebab Aku Menolak

Ehmm!!! sudah seminggu aku tidak "update" blog ini. Sebenarnya aku terpilih untuk bermain golf bagi mewakili ZON SELATAN dalam MSKPPM Tahun 2010. Main di lapangan golf Dalit Tuaran, Sabah. Keputusannya sekali lagi pasukan Tawau menjadi juara keseluruhan. Tahniah! Orang Tawau bah...tu!

Sepanjang bermain golf sempat juga aku bertanya dan merisik-risik kawan-kawan yang datang dari Sandakan tentang Tongod. Ada yang jawab "ok...bah SMK Tongod tidak jauh dari Telupid". Kawan yang satu lagi cakap..."kalau setakat Ketua Bidang...inda payahlah kau pigi. Kau tunggu saja time based".

Jadi selepas beberapa hari berfikir...aku mengambil keputusan atas 5 sebab yang berikut:
1. Aku buat pinjaman bank untuk buat rumah...mestikah aku tinggalkan rumah yang baharu siap.
2. Sekolah baru (SMK Tongod) cuma gred B tiada kelas form six, sedangkan aku sudah 8 tahun mengajar kelas STPM.
3. Aku percaya kalau aku menolak pasti ada guru lain yang sanggup mengambil alih kekosongan jawatan yang ku tolak.
4. Aku tidak sanggup meninggalkan keluargaku semata-mata mengejar kenaikan gaji yang besar. Ibuku masih mengharapkan aku membawanya berjumpa doktor setiap bulan.
5. Rezeki Allah s.w.t tidak akan habis setakat tahun 2010.


Saturday, October 23, 2010

Lambaian SMK Tongod : Petang

"Seterusnya dijemput EN.Jupilin Bin Rangin dari SMK Kuala Penyu" ungkapan yang berulang-ulang dari meja pengacara majlis cuma kali ini namaku yang disebut. Dengan perasaan berdebar-debar ku angkat juga kakiku yang sejak tadi sudah tidak sabar untuk bergerak membawa diriku ke arah pegawai yang sedang memegang sampul surat rasmi tercetak "Urusan Kerajaan Malaysia".

"Terima kasih puan..!!" ucapku selamba tapi penuh hormat. Saat itu juga kedengaran suara-suara gembira dari rakan-rakan yang sudah membuka sampul suratnya. Debaran hatiku semakin laju bagaikan aku sedang berlari mengejar bola yang terlepas dari kaki pertahanan pskkps Kuala Penyu. "Aduh...!!!! matilah...aku kena di Lahad Datu" tiba-tiba mataku mencari suara gelisah yang mengeluh di sebalik tiang.

"Bah..!! Jup bukalah sampul surat tu" suara si Alfred dari daerah Keningau. Rakanku yang masih mengenali diriku. Sudah lapan tahun kami tidak bertemu sejak menamatkan pengajian di UMS. Nasib baik ada Facebook yang setia menemukan wajah-wajah yang semakin berubah.

"Bismillah" sedikit demi sedikit sampul surat ku buka. Lembaran pertama dan kedua tidak perlu ku baca. Tanganku sepantas tangan kucing menyelak lembaran yang ketiga."Aduh..!! keluhan yang kudengar tadi...rupa-rupanya terpaksa juga aku luahkan. Dengan nafas yang panjang turun naik...aku melihat dan membaca perkataan "SMK TONGOD" Telupid, Sandakan. Aku terpegun seketika. Mata tidak puas melihat perkataan SMK TONGOD. Tiba-tiba lamunanku terhenti bila si Hamidey menepuk bahuku. "Macam..Jup! mana kau posting?" Mulutku terkunci...hatiku sebak..kuhulurkan saja surat posting itu kepadanya. "SMK TONGOD" Hamidey bersuara perlahan tapi wajahnya sempat merakamkan rasa simpati kepadaku. Kami sudah kenal lama. Dia tahu siapa aku dan aku juga tahu siapa dirinya. Dia tahu aku sudah berumahtangga...isteriku juga seorang guru. Dia tahu aku ada tiga orang anak. Dia juga tahu baharu dua bulan rumahku siap di Kg.Palu-Palu, Kuala Penyu. "Fikir-fikirlah dulu..Jup!" Hamidey meredahkan perasaan sedihku.

(bersambung...)

Tuesday, October 19, 2010

Memperkasa generasi muda dalam Bajet 2011

GENERASI muda adalah tonggak dan harapan masa depan negara. Kekuatan sebuah negara bergantung kepada kecemerlangan generasi muda. Malaysia juga tidak terkecuali. Justeru, Bajet 2011 yang diumumkan pada Jumaat minggu lalu banyak menekankan mengenai strategi untuk memperkasakan generasi muda.

Strategi-strategi ini jika dapat dilaksanakan secara berkesan, hasilnya sudah tentu amat menguntungkan negara dalam tempoh jangka masa panjang. Sebagai contoh, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah, kreativiti, inovasi dan daya saing. Lima elemen ini merupakan perkara terpenting untuk memperkasakan generasi muda.

Sistem pendidikan yang sedia ada hanya mencakupi kecemerlangan pendidikan berasaskan peperiksaan semata-mata. Generasi muda perlu diasuh agar mempunyai daya pemikiran yang tajam dan dapat menyelesaikan masalah dengan segera menggunakan kaedah yang paling tepat.

Pengumuman untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2016 dan mengubah suai kaedah penilaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) agar tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata, merupakan pemangkin untuk menjadikan generasi muda lebih kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tajam.

Suasana dan keadaan masa depan bukan ditentukan oleh sistem peperiksaan tetapi bagaimana sesuatu permasalahan dapat diselesaikan dengan segera menggunakan segala latihan, kemahiran dan pengetahuan yang telah diberikan kepada generasi muda.

Rombakan sistem pendidikan negara mestilah disusuli dengan penerapan latihan, kemahiran dan pengetahuan terkini dari sekolah rendah lagi.

Ini akan membolehkan para pelajar mengetahui apakah bidang pilihan mereka nanti apabila berada di peringkat sekolah menengah. Tidaklah membuang masa mereka menghadapi suasana peperiksaan semata-mata, sedangkan minat mereka lebih kepada latihan dan kemahiran teknikal.

Elemen kedua pula mengenai sahsiah. Meskipun tujuan utama pendidikan untuk menjadikan seseorang pelajar bersahsiah mantap, namun apa yang kita nampak pada masa kini, generasi muda terumbang-ambing dengan pelbagai masalah sosial. Tanpa sahsiah yang mantap, cemerlang macam mana pun seseorang pelajar, mereka tidak mampu menjadi pemimpin terbaik untuk generasi mereka.

Sahsiah yang mantap termasuklah elemen integriti yang mesti ditanamkan sejak kecil lagi. Sudah tentu kita tidak mahu lihat, generasi muda akan datang amat cemerlang dalam segala bentuk tetapi kekurangan integriti sehingga terjebak dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan.

Elemen kreativiti dan inovasi pula, sesuatu yang dijangka akan ditekankan dalam Bajet 2011. Kita kekurangan masyarakat yang kreatif dan inovasi. Justeru itu, generasi muda seharusnya dipupuk agar lebih kreatif dan inovasi. Kedua-dua elemen ini merupakan tunjang kepada penciptaan dan reka bentuk terbaru. Ini sudah tentu akan memperbanyakkan lagi ekonomi baru untuk negara berbanding dengan hanya bergantung kepada ekonomi tradisional yang sedia ada.

Lebih ramai generasi muda yang kreatif dan inovasi, lagi banyaklah pembukaan industri ekonomi baru yang menguntungkan negara secara keseluruhannya.

Apabila keempat-empat elemen ini dapat diterapkan kepada generasi muda, mereka akan lebih bersedia berhadapan dengan apa sahaja. Tidak gentar atau kurang persiapan. Mampu bersaing bukan sahaja di negara sendiri tetapi di mana-mana negara di dunia.

Satu lagi elemen yang sewajarnya diterapkan kepada generasi muda adalah berkaitan dengan jati diri mereka. Kelima-lima elemen yang disebut di atas sememangnya dapat memperkasakan generasi muda.

Tetapi tanpa jati diri yang jitu, mereka akan lebih mudah terpengaruh dengan budaya asing. Bahkan, tanpa jati diri yang kuat, generasi muda akan mudah melupakan asal usulnya. Mereka lebih senang mengamalkan budaya luar yang kurang manis berbanding budaya sendiri.

Lebih teruk lagi jika mereka berbangga dengan budaya luar sehingga memperlekehkan budaya sendiri, kononnya ketinggalan zaman atau tidak mengikut arus pemodenan. Generasi muda perlu diasuh dengan jati diri yang mantap. Tidak mudah diusik dengan pelbagai perubahan dan peredaran semasa atas slogan pemodenan sehingga menyebabkan mereka mudah untuk dipengaruhi.

Kita sudah tentu tidak mahu negara kita dipimpin oleh generasi masa depan yang mudah terpengaruh dengan budaya asing. Memang benar bukan kesemua arus pemodenan dan perubahan perlu ditolak mentah-mentah.

Namun, itu tidak bermakna apa sahaja yang diperkenalkan oleh negara asing diterima sebagai budaya terkini. Jika ini diamalkan, nescaya pemimpin masa depan negara hanya mengamalkan gaya kepimpinan ikut-ikutan sahaja.

Apa yang sebaiknya adalah jati diri dan sikap cintakan negara tanpa berbelah bagi diterapkan kepada generasi muda negara. Apabila ini dapat diterapkan, tidak kira sekuat mana arus perubahan dan peredaran semasa, mereka tetap memikirkan bagaimana untuk mempertahankan dan berbakti untuk negara mengikut acuan dan budaya sendiri bagi menjadikan negara ini tetap unggul setiap masa.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

Sunday, October 17, 2010

Fungsi dan Peranan Pemimpin Sekolah

  • Menentukan arah dan matlamat
  • Mencipta wawasan
  • Menggembleng sumber manusia
  • Berkomunikasi dengan individu yang penting
  • Menurunkan kuasa
  • Menjadi sumber ilham
  • Memberi dorongan
  • Memupuk semangat
(Sumber:Majalah Pendidik Julai 2010)

Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011 : Majlis Konsultasi Gaji Negara

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang menjadi platform utama dalam penetapan gaji minimum.

Beliau berkata, majlis tersebut akan dianggotai oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu manakala Kementerian Sumber Manusia akan bertindak sebagai sekretariat.

“Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610 (sebelumnya).

“Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap,” katanya sewaktu membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menguatkuasakan gaji pokok minimum pengawal keselamatan antara RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.

“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011,” katanya.

Turut diumumkan Perdana Menteri ialah pelancaran Dana Pencen Swasta pada tahun 2011 untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Katanya, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

“Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia akan dilaksanakan bermula Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen dengan yang pertama membabitkan kos RM200 juta untuk latihan sambilan pada sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih.

Katanya, ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan kemudahan sedia ada.

“Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik.

“Pada hujung minggu pula, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

Tuesday, October 12, 2010

Usaha Tangga Kejayaan


“Usaha Tangga Kejayaan” kata-kata ini sudah banyak kali kita dengar. Setiap mereka yang telah mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi, pastinya ungkapan kata-kata bestari yang diwarisi sejak zaman-berzaman ini menjadi azimat dan panduan kepada setiap insan yang inginkan kejayaan. Hari ini apabila aku melawat laman web social Facebook, banyak gambar majlis konvokesyen dihantar oleh rakan-rakan dan bekas pelajar . Ucapan spontan yang terdengar dari hatiku pada saat melihat gambar-gambar para graduan ialah “Tahniah”. Lalau sepantas itu ku rakamkan ucapan ikhlas tadi kepada mereka yang berjaya menamatkan pengajian sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah. Walau apapun jenis Ijazah yang berjaya digapai, perasaan syukur kepada Tuhan dan ucapan terima kasih haruslah diberikan kepada mereka yang telah banyak berkorban sehingga anda berdiri megah di atas pentas menerima skrol dan tersenyum lebar menghadap lensa kamera yang datang dari pelbagai sudut. Waahh!! bagai bintang popular rasanya.

“Usaha Tangga Kejayaan” memang telah banyak dibuktikan oleh mereka yang telah terdahulu mencapai kecemerlangan dalam hidup. Ramai tokoh akademik, usahawan, pemimpin politik, para saintis, pakar-pakar motivasi menggunakan kata-kata hikmat ini apabila mereka berbicara tentang kejayaan kepada masyarakat di sekelilingnya. Seorang ibu sejak anaknya lahir kata-kata perangsang seperti “Nak! Kalau sudah besar pergi sekolah, belajar rajin-rajin supaya boleh masuk ke univerisiti” Si Bapa pula sentiasa menjanjikan hadiah yang mahal sebagai perangsang kepada anak-anak kesayangannya,untuk belajar bersungguh-sungguh agar apabila dewasa tidak hidup dalam kemiskinan. Seorang guru walau apapun warna kulitnya, bangsanya serta agamanya, kejujuran dan keikhlasan mendidik sentiasa menjadi keutamaan dengan harapan anak-anak didiknya berjaya dalam pelajaran sehingga ke puncak menara gading.

“Usaha Tangga Kejayaan” bukan untuk orang bandar tapi juga untuk orang yang tinggal di kampung. “Usaha Tangga Kejayaan” bukan untuk anak-anak pegawai kerajaan sahaja tapi untuk anak-anak petani dan nelayan juga. Sesungguhnya kejayaan dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada semua manusia, kerana manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaanNYA. Gunakanlah akal dan fikiran yang waras untuk perkara-perkara yang baik sementara nyawa masih dikandung badan.

Monday, October 11, 2010

Pengajian Am kertas 2 STPM

Sedar tak sedar rupa-rupanya esok budak-budakku dah duduk exam STPM.Tapi bukan subjek pengajian am kertas 2, esok STPM bermula dengan MUET (Malaysian University English Test).
Ehmm!!! kena cakap orang putihlah budak-budak tu. "Good morning sir". Apa pun topik yang akan dibincangkan kelak, para pelajar sudah tentu sedia maklum bahawa MUET juga mempunyai persamaan dengan subjek pengajian am kertas 2. Banyak isu-isu semasa yang boleh dibincangkan di dalam kelas, cuma bezanya penggunaan bahasa inggeris dan Bahasa Malaysia.

Ok...saya nak ulang semula tentang subjek yang saya ajar nie. Pengajian am kertas 2 STPM terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:

Bahagian A Karangan Laras Sastera
Bahagian B Karangan Laras Sains
Bahagian C Kefahaman Petikan Laras Sastera dan Laras Sains
Bahagian D Melukis Graf atau Carta
Bahagian E Mengulas atau mentafsir Data dalam jadual atau Carta Aliran

Berdasarkan pengalaman mengajar dan menghadiri kursus subjek pengajian am kertas 2 STPM, kebanyakan soalan yang ditanya kepada calon berkaitan dengan isu-isu semasa yang ada dalam negara kita. Dan selalunya isu-isu yang hangat dalam media massa menjadi idea kepada penggubalan soalan pengajian am kertas 2. Misalnya isu perpaduan kaum, masalah sosial di kalangan remaja, isu alam sekitar, isu kenaikan harga barang, tanah runtuh, kepentingan biodiversiti, isu penyakit merbahaya seperti demam denggi dan sebagainya.

Jangan panik, masa untuk membaca masih ada. Kemudahan internet hari ini sungguh memudahkan para pelajar untuk membaca pelbagai jenis isu. Selebihnya berserahlah kepada ketentuan Allah s.w.t...banyak-banyak sembahyang dan berdoa memohon ketenangan untuk menghadapi peperiksaan yang akan menjelang tiba. Selamat belajar.

Saturday, October 9, 2010

Siput "Tuntul"











Gambar yang anda lihat di atas adalah satu lagi jenis siput yang jarang ditemui di kawasan lain khususnya di Negeri Sabah. Siput ini dipanggil "Tuntul" oleh masyarakat yang mendiami Daerah Kuala Penyu, Membakut, Beaufort dan Sipitang. Ia hidup di persekitaran pantai kg.Palu-palu Kuala Penyu hingga ke pantai kg.Kuala Binsuluk, Membakut. Tempat lain mungkin ada tapi namanya juga mungkin berbeza. Siput Tuntul ini boleh dimakan (kalau air laut tidak tercemar) bersama nasi atau makan saja dengan sambal. Resepinya ikut kesukaan si pemasak. Rebus air pun boleh, masak kicap pun boleh. Ada lagi...masak kari pun sedaapp!!

Tapi sebelum dapat merasa siput istimewa ini, kenalah turun ke pantai. Jangan lupa pakai kasut, hujung siput ini sangat tajam. Kalau setakat selipar Jipun...ehmmm!! alamat siput bercampur dengan darah. Tajammm...oohhh!! jangan main-main. Kalau takut luka...don't worry datang saja ke pasar pekan Kuala Penyu harganya murah saja RM2.00 sebungkus. Cuba jangan tak cuba. Kalau pembaca ada info tentang jenis siput ini di tempat lain...bolehlah kita kongsi pengetahuan.
Email atau komen.

Friday, October 8, 2010

My perception about the leaders

People follow leaders they respect and leaders who are competent. Leadership is easy on a smooth-sailing journey. Respect is almost always gained on difficult grounds. There is no way of getting credibility except by overcoming difficult challenges and doing a good job. Leaders who are not capable of meeting challenges may desire respect from their people,but they rarely get it. They may get things done by exercising their positional power,but they will not earn the respect from their people. Poor leaders demand respect,competent leaders command respect.

Wednesday, October 6, 2010

Pengetahuan Sains



Hari ini saya jumpa satu lagi laman web yang sangat penting dan wajib dibaca oleh pelajar-pelajar form six. Dalam peperiksaan STPM khususnya bagi mata pelajaran pengajian am kertas 2, soalan bahagian B iaitu karangan laras sains memang menjadi masalah kepada pelajar yang kurang pengetahuan tentang sians. Jadi saya harap dengan pengumuman ini...ceh!! macamlah korang tak tahu yea.. jangan-jangan saya ni yang baru jumpa. Anywhere...jangan lupa baca laman web ini. Jangan asyik buka laman web facebook..."hai apa khabar"...."di mana sudah...berapa orang anak?...boringggg.. itu saja yang selalu korang bualkan dalam facebook. So..kalau nak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan...gunakan internet untuk perkara-perkara yang menjadikan kita cerdik dan berakhlak. klik http://www.majalahsains.com

Tuesday, October 5, 2010

Tahu Tapi Tak Buat

Hari ini kerajaan telah menaikan harga rokok sebanyak RM0.70 sen. Ini bermakna rokok yang saya hisap dah jadi RM10.00 sekotak. Ehmmm!!! mahal juga!...dulu waktu puasa bulan Ramadhan saya cuma ambil dan hisap sebatang saja. Ingatkan...boleh berhenti. Time hari raya...tabiat lama datang lagi... sampailah hari iniiii!!! Dalam hati memang ada keinginan nak berhenti merokok. Bukan pasal harga naik...tapi...tahu merokok tu membahayakan kesihatan. Masalahnya...tahu tapi tak buat. BERHENTI MEROKOK. Masa update blog ni...rokok saya dah habis. Harap-harap esok pagi tak cari rokok. Heyyyy!!!! rokok tolonglah...jangan kacau lagi. Anak-anak saya pun memang tak suka saya merokok. Kawan-kawan yang tak merokok...ada juga bagi tips cara nak berhenti merokok. Banyakkkk!!!! tapi yang paling best...hati mau kuat untuk melawan nafsu merokok. ok...la saya pun dah habis idea nak taip depan laptop ni. Kalau you all ada tips yang hebat...jangan kedekut nak share dengan saya.

"Ayam berkokok di atas batang...kalau saya merokok tolong-tolonglah ingatkan"

Sunday, October 3, 2010

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU



Sejak idea menulis minuman ajaib rakyat Malaysia minggu lalu, saya terus mencari-cari apakah idea baharu yang sesuai dikongsi bersama pembaca blog ini…itu pun kalau benar ada yang sudi membaca blog saya ini.

Ketika PJJ (Pergi Jalan-Jalan) di pusat membelih belah yang sangat popular ketika ini di Bandaraya Kota Kinabalu, apa lagi…1 Borneo…la. Saya selalu singgah ke kedai buku “Harris” kedudukan kedai ini saya tak berapa pasti tingkat berapa, tapi bagi yang biasa berkunjung ke ‘One Borneo” pasti tahu punya..la.

Apa yang saya nak kongsi hari ini bukan..la pasal 1B. Tapi saya amat tertarik dengan satu buku yang pada saya amat sesuai dibaca oleh semua orang. Tentulah orang Malaysia maksud saya. Orang Bangladesh, Indonesia, Thailand atau Philipine tak perlu baca, tapi kalau faham bahasa Melayu…sila dapatkan buku ini di kedai buku, beli dan baca.

Buku ini adalah sebahagian daripada himpunan tulisan Dr.Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Majalah Al-islam. Persoalan utamanya banyak berkisar tentang politik silang budaya, terutama antara Melayu dengan bukan Melayu (Cina). Fokusnya lebih kepada nasib orang Melayu di bumi mereka sendiri. Kenapa dan mengapa orang Melayu masih ketinggalan di buminya sendiri, sedangkan sudah ada peruntukan, keistimewaan dan perlindungan dalam perlembagaan? Buku ini akan cuba untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan.

Buku ini sesuai untuk semua peringkat khalayak, termasuk ahli akademik, penuntut IPTA dan IPTS, pelajar sekolah, masyarakat umum dan mereka yang berfikiran terbuka. Ia mengajak pembaca untuk berfikir sejenak dan merenung nasib kita sendiri. Lenggok bahasa yang mudah difahami, sinis dan tegas diharapkan dapat membuka jendela ilmu kepada semua pembaca untuk terus membaca.

“Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya”