Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Wednesday, March 16, 2011

Kepentingan Sukan Dalam Kehidupan Manusia


"Di mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Kejayaan" kata-kata bestari ini telah dibuktikan oleh jaguh-jaguh sukan negara kita. Misalnya Lee Chong Wei, Azizul Hasni Awang, Nicol Ann David dan Shalin Zulkifli telah beberapa kali mengharumkan nama MALAYSIA dalam kejohanan dunia. Kehebatan mereka ini seharusnya menjadi contoh ikutan kepada generasi pelajar yang masih aktif menceburkan diri dalam aktiviti sukan di sekolah.

Persepsi negatif tentang penglibatan para pelajar dalam bidang sukan daripada segelintir ibu bapa yang tidak yakin dengan sumbangan sukan dalam kehidupan harus dibetulkan malah wajib dibuang daripada kota pemikiran mereka. Sejak dahulu lagi ramai anak-anak miskin yang berjaya mengubah hidupnya setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kejayaan dalam bidang sukan yang diceburi. Tentu anda pernah atau mengenali wajah-wajah seperti Mike Tyson, Ronaldinho, Usain Bolt, Tiger woods dan ramai lagi.

Pemain-pemain bola keranjang NBA di Amerika Syarikat juga telah membuktikan bahawa selain akademik, kemahiran dan minat yang mendalam dalam acara sukan bukan penghalang kepada mereka untuk terus belajar di universiti atau kolej. Dalam hal ini sudah sampai masanya kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan Universiti yang menjurus kepada kecemerlangan sukan dan akademik, agar generasi pelajar sekolah mempunyai pilihan yang luas untuk memilih kerjaya.

Kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM semata-mata tidak lagi menjamin untuk seseorang itu mengumpul harta untuk membina kesenangan dalam kehidupan seharian. Tetapi dengan menceburkan diri dalam bidang sukan, hadiah-hadiah kemenangan boleh mencecah jutaan ringgit. Fikir-fikirkanlah apakah sistem pendidikan kita masih relevan dengan kehidupan zaman yang serba canggih ini.
Hari ini wang adalah penentu kesejahteraan hidup manusia. Manakala amal ibadat adalah bekalan yang wajib diperbanyakkan untuk kehidupan alam akhirat. Sekian.

No comments:

Post a Comment