Friday, April 22, 2011

Hang Jebat Mengamuk : Kenangan Zaman Sekolah



Tahun 1980an ketika bersekolah saya dan juga rakan-rakan yang lain pernah membaca Hikayat Malim Deman, Hikayat Sulatus Salatin,Hikayat Hang Tuah, Novel Ranjau Sepanjang Jalan,Novel Salina, dan banyak lagi karya-karya sastera yang lain.Waktu itu kami membaca bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, namun keinginan dan minat dalam karya-karya sastera negara banyak dipengaruhi oleh kemahiran guru mengajar serta aktiviti kebudayaan yang dilakukan di sekolah.

Saya masih ingat pada hari kami diminta melaksanakan Perayaan Hari Guru, timbul idea untuk menghiburkan guru-guru kami dengan sebuah lakonan sketsa komedi yang diubah suai daripada cerita Hang Jebat mengamuk di istana.Walaupun pada waktu itu kami bukanlah pelakon yang hebat, namun dengan gerak lakon dan dialog yang melucukan, guru-guru serta rakan-rakan yang memenuhi dewan ketawa dengan gembira. Selepas selesai berlakon, ramai yang memuji dan ada yang berkata "Muka kau yang garang ini, tidak sangka pula pandai melawak...tahniah".

Apa yang ingin saya kongsi di sini bukanlah untuk memuji diri sendiri kerana siapalah saya jika dibandingkan dengan Rosyam Nor atau lebih dekat lagi Si Ampal pelakon dan penyayi yang sudah dikenali ramai. Saya sekadar ingin berkongsi kenangan dengan para pembaca sekalian. Dan yang lebih penting, hari ini saya atau mungkin juga para pembaca yang budiman, tentu merasa ada kelainan yang berlaku di sekolah. Hari ini mata pelajaran sastera tetap wujud, diajar, dibaca sedikit-sedikit, tapi memahami karya sastera itu dengan aktiviti lakonan pentas sudah hilang. Yang penting guru mengajar dan pelajar lulus cemerlang mata pelajaran sastera. Pelajar diminta membaca sinopsis, diminta menjawab banyak soalan latihan.Mungkin ini cara guru-guru sekarang mengajar. Terpaksa mengajar begitu untuk lulus peperiksaan. Terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran.

Kadang-kadang terasa pelik dengan sistem persekolahan kita, lebih mengutamakan pencapaian akademik. Guru dipaksa mengajar dengan pantas.Kalau boleh bulan Mei sudah habis sukatan pelajaran. Lepas itu guru bagi latih tubi sahaja dengan menjawab soalan-soalan percubaan. Soalan pula ada yang disalin bulat-bulat daripada buku-buku rujukan yang dibeli.Akhirnya ramai pelajar yang cemerlang akademik dari bangku sekolah sampailah ke universiti, masih menganggur. Ada ijazah tapi tidak tahu buat apa dengan ijazah itu.

-Sekadar pendapat-

No comments:

Post a Comment