Saturday, April 30, 2011

"Sumpah Demi Allah Aku Tidak Ambil"




"Sumpah demi Allah aku tidak ambil...tadi memang aku duduk di sana, tapi aku tidak ambil guli kau" dialog yang biasa kedengaran pada waktu tahun 70-an dahulu. Setiap hari apabila ada masa yang terluang di sekolah atau selepas waktu sekolah, saya masih ingat kami sering bermain guli di halaman bangunan sekolah. Waktu itu saya bersekolah di SRK Sembulan, Kota Kinabalu. Selain bermain bola, bermain kayu tiga, bermain biji getah, permainan guli adalah antara jenis permainan yang sangat popular pada era kehidupan kanak-kanak tahun 1970-an. Suasana kampung Sembula Lama pada waktu itu sungguh aman damai, bersih dan cantik dengan pemandangan pokok kelapa yang tinggi tumbuh berselerak.

Dipendekkan cerita, "sumpah demi Allah aku tidak ambil" sengaja saya pilih sebagai tajuk isi blog saya hari ini. Mungkin ada yang menuduh saya sengaja menggunakan tajuk ini kerana situasi politik negara yang masih lagi bergolak, terutamanya keadaan kacau bilau yang dicetuskan oleh para pemimpin politik Melayu. Kerana jawatan dan pangkat, orang Melayu semakin bercelaru.

Ungkapan "sumpah demi Allah aku tidak ambil" pada saya sudah lama wujud dan menjadi kebiasaan kanak-kanak yang hidup di Kampung Sembulan Lama dan saya percaya ia juga wujud di kampung-kampung lain pada tahun 1970-an atau mungkin sehingga ke hari ini. Ungkapan ini pernah juga saya sebut ketika saya dan beberapa orang kawan sedang bermain guli. Tanpa menyebut nama, kawan saya ini menuduh saya yang ambil gulinya. Waktu itu kawan saya ini memang mempunyai banyak guli yang tersimpan dalam tin susu Nespray. Ada juga yang menyimpan dalam bakul plastik hitam. Untuk membuktikan saya benar-benar tidak bersalah dan tidak ambil guli tersebut, saya dengan secara spontan menyebut kalimah "Sumpah Demi Allah aku tidak ambil guli kau, aku pun ada guli sendiri". Sumpah yang saya lafazkan itu memberi kepuasan dan keyakinan kepada kawan saya, lalu kami pun meneruskan permainan pada hari itu.

Kalau kanak-kanak yang masih kecil sekitar umur 7 hingga 12 tahun berani bersumpah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, mengapakah pada hari ini ada orang yang tidak berani bersumpah jika benar dia tidak bersalah. Ada satu lagi kata-kata yang sudah lama wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu iaitu "Berani Kerana Benar Takut Kerana Salah". Saya fikir manusia yang waras, berilmu pengetahuan dan yakin dengan kuasa Allah s.w.t sudah tentu mengetahui akan akibatnya. Maka adalah mustahil mereka berani bersumpah laknat dalam masjid dan pada ketika baharu sahaja selesai menunaikan solat Jumaat, jika mereka tidak yakin bahawa mereka bercakap benar.

Kita harap orang Melayu yang majoritinya beragama Islam, kembali bersatu demi mempertahakan Agama Islam, Bangsa dan Negara. Janganlah kerana perebutan kuasa kita berpecah belah yang akhirnya nanti ibarat "Menang Sorak Kampung Tergadai". Ingatlah masa depan anak-anak yang bakal meneruskan kehidupan dengan memegang nama Melayu, agama dan bangsa. Jika negara ini ditadbir oleh orang yang tidak bertanggungjawab, maka kata-kata 'Tak akan Melayu Hilang Di Dunia" akan tinggal slogan yang tidak bermakna dan sia-sia kepada kaum atau bangsa Melayu.

No comments:

Post a Comment