Friday, April 8, 2011

Luahan Rasa Seorang Guru


"Tegur salah tak tegus salah, kalau ditegur mereka melenting dengan kata-kata yang kasar. Kalau dibiarkan, ibu bapa akan tuduh guru-guru tidak bertanggungjawab. Inilah situasi yang berlaku di sesetengah sekolah di negara ini. Pelajar semakin berani melawan guru. Setiap sekolah ada menyediakan buku panduan peraturan disiplin yang perlu dipatuhi oleh semua pelajar, tidak kira pelajar itu anak orang kaya atau orang miskin, anak YB atau anak pemandu YB, anak Cikgu atau anak KTBM dan sesiapa juga mesti mematuhi dan menghormati peraturan sekolah.

Tidak ada sekolah di dunia ini yang tiada peraturan. Kehidupan di dalam rumah pun ada peraturan yang diselia oleh ibu bapa, setiap kampung ada peraturan, bermain dalam sukan bola sepak juga ada peraturannya. Malah kehidupan kita sebagai manusia juga ada peraturan yang terkandung dalam kitab-kitab agama. Jadi apakah pelajar merasakan peraturan yang wujud di sekolah itu sesuatu yang ganjil atau tidak perlu diadakan. Apakah pelajar hari ini beranggapan bahawa ibu bapa mereka yang bersekolah pada tahun 70-an dahulu sekolahnya tidak ada peraturan. Jika itulah anggapan pelajar, maka ia satu kesilapan yang sangat dungu.

Seingat saya ketika bersekolah pada tahun 70-an dahulu, saya pernah dirotan, diketuk kepala dengan pemadam papan hitam, telinga dipulas oleh guru. Kalau kerja sekolah tidak siap, guru akan denda dengan mencuci tandas guru, menyapu bilik guru dan sebagainya. Hari ini guru semakin malas untuk mendenda pelajar yang bermasalah. Kalau ada pun, mungkin guru tersebut sudah hilang sabar dengan kerenah pelajar yang kurang ajar dan melawan guru.

Ibu bapa dahulu kalau anaknya melawan guru, pasti akan menerima habuan daripada tangan-tangan ibu atau bapanya. Rotan, tampar, terajang malah ikat di bawah pokok adalah perkara biasa untuk menunjukkan rasa malu kerana mempunyai anak yang kurang ajar dan berani melawan gurunya.

Ingatlah kalau bukan guru... ibu bapa anda tidak akan menjadi orang yang pandai. Tanyalah ibu bapa yang anda kagumi itu, apakah dia lahir ke dunia ini terus pandai membaca, menulis dan mengira. Bill Gates yang jutawan itu pun pernah menjadi anak murid kepada gurunya. Para ulamak, para pemimpin, penyanyi pujaan dan semua manusia yang berakal dan waras akan belajar dan menuntut ilmu daripada orang yang terdahulu dan terpelajar daripadanya.

"Kalau Tidak Mahu Diajar Oleh Guru - Jangan Datang Ke Sekolah, kerana di mana ada sekolah di situ ada guru. Kecuali kalau anda pergi ke hutan memang guru tidak ada di sana... yang ada hanyalah monyet atau babi hutan".

No comments:

Post a Comment