Monday, April 4, 2011

Sistem Pilihan Raya Malaysia


1. SISTEM PILIHAN RAYA

Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan 'First-Past-The-Post-System'. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

2. UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN PILIHAN RAYA

Bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya dipatuhi sepenuhnya. Undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal adalah seperti yang berikut:

i)
Perlembagaan Persekutuan;
ii)
Perlembagaan Negeri;
iii)
Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957
iv)
Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19);
v)
Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5);
vi)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981;
vii)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002;
viii)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Antarannya termasuklah Akta Polis 1967; Akta Hasutan 1958; Akta Rahsia Rasmi 1971;
dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.


3. ELEMEN-ELEMEN PENTING PILIHAN RAYA

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-

i)

Bahagian Pilihan Raya

ii)

Pemilih

iii)

Calon

iv)

Proses Pilihan Raya
4. KELAYAKAN CALON

Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:

i)

warganegara Malaysia;

ii)

berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon;

iii)

tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen; dan

iv)

tidak hilang kelayakan

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:
i)
telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
ii)
didapati seorang bankrap; atau
iii)
memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
iv)
gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
v)

telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak
kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau

vi)
telah memperoleh kewarganegaraan asing.
5. JENIS-JENIS PILIHAN RAYA
Terdapat dua jenis pilihan raya iaitu:
1.
Pilihan Raya Umum
2.
Pilihan Raya Kecil
Pilihan Raya Umum diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun.

Pilihan Raya Kecil pula berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan oleh:

i)
Kematian
ii)
Perletakan Jawatan
iii)
Hilang Kelayakan
iv)
Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya
5. TEMPOH PILIHAN RAYA
Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, perlu diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum hendaklah diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.
Pilihan Raya Kecil juga diadakan apabila ada kekosongan dan perlu diselesaikan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan atas sebab-sebab kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
7. PERINGKAT-PERINGKAT PILIHAN RAYA
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.
(i)
Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

(ii)
Penamaan Calon

Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, diantara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem.

Kertas-kertas penamaan yang diterima akan di pamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang terdaftar di kawasan berkenan. Apabila selesai urusan tersebut Pegawai Pengurus akan mengistiyarkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

(iii)
Kempen Pilihan Raya

Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster, ceramah-ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.

(iv)
Pengundian

Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada didalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang diseluruh negara. Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi. Ianya diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang pembantu.

Bagi pengundi-pengundi tidak hadir atau kalangan yang layak mengundi secara pos, mereka boleh mengundi lebih awal dari hari mengundi yang ditetapkan. Namun demikian semua kertas undi yang telah ditandakan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

(v)
Penjumlahan Rasmi Undi

Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiran kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan kedalam borang 14. Semua borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramaisatu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 – Penyata Kertas Undi.

Apabila semua keputusan Borang 14 - Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 - Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.

(vi)
Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan. Keputusannya tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.

Carta Proses Pilihan Raya
8. DEPOSIT PILIHAN RAYA

Bagi calon-calon yang hendak menyertai pilihan raya mereka dikehendaki membayar wang deposit pilihan raya berjumlah seperti berikut:-

  1. Pilihan Raya Parlimen – RM 10,000.00
  2. Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri – RM 5,000.00

Wang deposit ini perlu dibayar kepadaPegawai Pengurus atau Pengarah Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya pada jam 10.00 pagi pada hari penamaan calon. Deposit Pilihan Raya boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank.

Calon-calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang di perolehi oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

Carta Deposit Pilihan Raya
9. PENGGUNAAN SIMBOL PARTI

Calon-calon boleh mengunakan simbol parti politik jika mendapat kebenaran daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon yang tidak mewakili parti boleh menggunakan simbol Bebas yang telah di sediakan oleh SPR (Sila rujuk simbol-simbol Parti).

10. PASUKAN PENGUAT KUASA KEMPEN PILIHAN RAYA

Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958 dan seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguatkuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di setiap bahagian pilihan raya Parlimen .

Keanggotaan pasukan ini adalah terdiri daripada:-

(a)
Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958
(b)
Seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari inspektor.
(c)
Seorang wakil pihak berkuasa tempatan.
(d)
Seorang wakil parti politik/calon.

Fungsi-fungsinya ialah:-

(a)
Mengawasi dan memantau semua aktiviti calon
(b)
Menurunkan semua bahan kempen yang bercanggah dengan undang-undang Pilihan Raya
(c)
Menghentikan ucapan dan syarahan yang melanggar undang-undang pilihan raya.
(d)
Mengawal dan menyelaras aktiviti berkempen
11. BARONG SPR

Undang-undang yang ada sekarang melarang calon daripada mendirikan sebarang barong atau pondok panas di dalam kawasan calon itu bertanding. Namun demikian calon-calon dibenarkan untuk mengadakan pejabat parti untuk urusanya di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi. Bagi memastikan kelancaran pengundian, SPR akan mengadakan Barong SPR di pusat-pusat mengundi. Tujuaan barong ini diadakan adalah untuk membantu pemilih menyemak nama mereka berada di dalam daftar pemilih dan penentuan pusat dan tempat mengundi mereka supaya pengundian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

12. PERBELANJAAN PILIHAN RAYA

Calon-calon dibenarkan membelanjakan untuk urusan pilihan raya mereka berdasarkan jumlah berikut :-

(a)
Parlimen : Tidak lebih daripada RM200,000.00
(b)
Dewan Undangan Negeri : Tidak lebih daripada RM100,000.00

Calon-calon dikehendaki mengemukakan penyata perbelanjaan kepada SPR dalam tempoh 31 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Calon-calon dan ejen pilihan raya yang gagal berbuat demikian menyebabkan mereka tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun akan datang.

13. JENIS-JENIS PENGUNDIAN

Terdapat dua jenis pengundian di Malaysia:-

(a)
Pengundian biasa – ianya melibatkan pemilih-pemilih biasa yang akan mengundi pada hari yang ditetapkan sebagai hari mengundi.
(b)
Pengundian pos – ianya melibatkan pengundi tidak hadir yang terdiri daripada angkatan tentera dan pasangannya, pelajar di luar negara dan pasangannya serta kakitangan awam yang berkhidmat di luar Negara dan pasangannya.
Pengundi-pengundi lain yang dibenarkan mengundi secara pos ialah:
(i)
Petugas Pilihan Raya
(ii)
Anggota polis dan pasangan, anggota polis hutan
(iii)
Ahli panel dan Pegawai SPR
(iv)
Mana-mana kategori yang ditetapkan oleh SPR layak untuk mengundi secara pos melalui pewartaan

Pengundian pos ini akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi di cetak dan mereka perlu mengemukakan kertas undi tersebut yang telah ditanda ke Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi.

14. ALASAN-ALASAN UNTUK PETISYEN PILIHAN RAYA

Keputusan pilihan raya hanya boleh di cabar di mahkamah pilihan raya melalui petisyen pilihan raya. Ianya hendaklah di kemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Sesuatu petisyen pilihan raya hanya boleh dibuat atas alasan-alasan berikut:-

(a)
Sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang boleh menjejaskan pilihan raya
(b)
Ketidakpatuhan peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya
(c)
Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon-calon atau ejen-ejennya.
(d)
Calon atau ejennya didapati tidak layak untuk menyertai pilihan raya.


Untuk bacaan lanjut sila lawat laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

No comments:

Post a Comment