Wednesday, April 20, 2011

Melayu Kacau Bilau



Selepas Pilihan Raya Umum Ke 12, ikatan perpaduan bangsa Melayu semakin jelas menuju ke arah perpecahan. Semuanya berlaku gara-gara perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri. Pelbagai sentimen perkauman dicipta untuk menunjukkan kuasa dan pengaruh. Sentimen perkauman bukan sahaja menuduh kaum ini tidak patriotik, bangsa itu tidak ikhlas, orang ini tidak layak memimpin negara, orang itu talam dua muka, orang ini ada skandal seks, orang itu pengamal rasuah dan bermacam-macam lagi idea negatif yang dicanang ke seluruh negeri untuk menghalalkan cara demi kepentingan peribadi. Siapakah mereka ini? Anak-anak kecil sudah tentu tidak tahu apa lagi untuk memahami situasi politik negara hari ini.

Bagi individu yang sudah dewasa, mempunyai kelulusan dari serendah SPM sehingga berkeping-keping kertas ijazah yang menjadi kebangaan seisi keluarga, permainan orang-orang politik semakin hari meningkatkan kekeliruan mana satu yang benar. Orang ini mengatakan orang itu tidak benar, sebaliknya orang itu pula akan bermati-matian menafikan tuduhan. Maka pelbagai cara dan strategi dirancang serta dilaksanakan untuk menuduh pula si polan itu penipu, hipokrit, pengkhianat bangsa, pembunuh, perasuah dan bermacam-macam lagi. Apa semua ini?

Media pula hari-hari menyiarkan cerita-cerita panas. Puluhan pelbagai jenis blog wujud untuk mempertahankan pelakon-pelakon politik yang gila kuasa ini. Rakyat dipaksa mendengar, rakyat dipaksa menonton, yang akhirnya menjadi rutin harian untuk membaca dan mentafsir sendiri cerita-cerita kotor yang saban hari disiarkan dalam tv, surat khabar dan internet.

Orang Melayu berpecah, orang bumiputera kebingungan tapi orang Cina bersatu dalam perniagaan, bersatu dalam kepentingan bangsanya, manakala orang India masih lagi tercari-cari rentak untuk sama-sama bersaing dalam irama tarian politik kepimpinan sejati. Sampai bila?

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak tahun 2011, jelas menunjukkan orang Melayu dan bumiputera masih bersatu dengan memberi kemenangan majoriti 2/3 kepada BN. Tahniah kepada orang Melayu dan bumiputera Sarawak. Semangat inilah yang perlu wujud kepada orang Melayu di Semenanjung. Bersatulah. Tidak rugi orang Melayu kalau bersatu. Apalah ertinya parti UMNO, PAS dan PKR ditubuhkan jika orang Melayu terus berpecah, bergaduh, hina-menghina. Bangsa Melayu kaya dengan peribahasa, simpulan bahasa, pantun seloka, pepatah pepatih yang mengandungi unsur-unsur nasihat, misalnya "Bersatu Teguh Bercerai Roboh" "Menyesal Dahulu Pendapatan Menyesal Kemudian Tidak Berguna" "Menang Sorak Kampung Tergadai" dan banyak lagi. Kenapa orang Melayu tidak amalkan harta pusaka bangsa yang telah diwariskan sejak zaman berzaman ini. Apakah UMNO-PAS-PKR tidak boleh bersatu demi untuk bangsa Melayu Semenanjung, Bumiputera Sabah dan Sarawak. Apakah Najib - Nik Aziz - Anuar Ibrahim mahu bangsa Melayu terus berpecah dan mundur di negara sendiri.





No comments:

Post a Comment