Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Tuesday, April 5, 2011

Kerajaan negeri diminta tutup sekolah persendirian tidak berdaftar


ARAU 4 April - Kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri diminta menutup serta-merta operasi sekolah-sekolah persendirian yang tidak berdaftar di negeri ini bagi mengelak kejadian tidak diingini terhadap murid-muridnya.

Ketua Wanita UMNO Perlis, Rela Ahmad menegaskan, tindakan itu perlu diambil agar tidak menimbulkan keraguan dalam masyarakat tentang kewibawaan golongan pendidik.

"Kita mahu sekolah-sekolah ini yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelajaran ditutup segera agar tidak mengambil kesempatan terhadap orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga murid yang meninggal dunia dipercayai dipukul oleh gurunya, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, bersama ahli pergerakan itu dan Puteri UMNO di Kampung Jejawi Hutan Buluh, Jejawi hari ini.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO negeri, Asmaiza Ahmad; Pengerusi Biro Kesihatan Wanita UMNO, Dr. Soraya Azmi dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin.

Murid berkenaan dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah sekolah agama rakyat di sini sehingga koma minggu lalu sebelum meninggal dunia semalam.

Dalam kunjungan itu, Wanita dan Puteri UMNO Perlis turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga angkat mangsa iaitu ibu angkatnya, Hazirah Chin, 38, dan bapa angkatnya, Mohd. Zamri Shafie, 40.

Rela dan Asmaiza meminta agar kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit.

"Siasatan rapi perlu dilakukan terhadap pentadbiran sekolah itu supaya perkara sama tidak berulang termasuk kejadian seumpamanya yang mungkin cuba diselindungkan," tegas mereka.

Menurut mereka, kejadian tersebut juga perlu diambil iktibar oleh ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka bersekolah di sekolah yang diiktiraf oleh kerajaan dan mempunyai kokurikulum selaras dengan pendidikan arus perdana.

Sumber : Utusan Malaysia April 2011

No comments:

Post a Comment