Tuesday, April 26, 2011

Keganasan Rumah Tangga


Keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan perlabagi bentuk kekerasan yang dilakukan terhadap isteri atau wanita.Contohnya, ada wanita yang ditampar, ditendang, dikurung atau dijadikan hamba seks oleh suami sendiri.

Salah satu punca keganasan rumah tangga berlaku ialah si pelaku (suami)menghadapi tekanan perasaan. Keadaan kerja yang mencabar, kos hidup yang tinggi dan persekitaran yang membosankan akan menyebabkan lelaki mudah berasa tertekan. Tekanan yang berpanjangan akan mengakibatkan kemurungan. Di rumah, tangisan anak-anak dan leteran isteri akan mengundang reaksi keras dan ganas daripada suami.

Ada juga kes yang berpunca daripada sikap cemburu si suami terhadap isterinya. Dalam situasi tertentu, gaji dan kerjaya isteri yang lebih baik daripada suami turut mengundang konflik. Sikap isteri yang lebih mementingkan kerjaya dan membelakangkan suami akan mengundang perasaan tidak puas hati si suami. Lama-kelamaan, si suami mulai rasa cemburu dan menaruh prasangka buruk terhadap isteri. Pergaduhan kecil akan bertukar besar yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Faktor lain yang menyebabkan berlakunya keganasan rumah tangga ialah apabila suami terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti berjudi, minum arak dan menagih dadah. Pergaulan bebas si suami dengan gadis-gadis muda yang ditemui di tempat kerja atau di pusat-pusat hiburan juga menyebabkan isteri teraniaya. Suami yang suka minum arak sehingga mabuk, mudah hilang ingatan dan suka memukul isteri yang pada anggapannya suka berleter sebaik saja dia pulang ke rumah.

Pengalaman hidup masa lalu turut menjadi punca keganasan rumah tangga. Si suami mungkin pernah didera oleh ibu bapanya atau menyaksikan ibunya didera oleh bapanya semasa kecil. Kegagalan menangani perasaan marah dan dendam dalam diri menyebabkan mereka membesar dalam keadaan emosi yang kurang stabil. Tanpa disedari apabila berkeluarga, perlakuan ganas yang tersimpan dalam memori hidupnya akan diulangi semula kepada anak dan isterinya.

Keganasan rumah tangga memang berlaku di mana-mana sahaja. Langkah tertentu seperti mengadakan khidmat kaunseling kepada para suami perlu diambil untuk membendung gajala yang tidak sihat ini.Meningkatkan ilmu serta mengamalkan ajaran agama adalah perkara yang paling baik dilakukan oleh pasangan suami isteri dan anak-anak untuk membina kehidupan keluarga yang bahagia. Akhir sekali Undang-undang anti keganasan rumah tangga juga perlu dilaksankan dengan tegas kepada suami-suami yang melakukan keganasan terhadap isteri atau anak-anaknya.Jangan hanya digubal, dibahas tetapi perlaksanaannya ibarat 'hangat-hangat tahi ayam'.

1 comment:

  1. maaf saya rasa topikmini boleh jadi lebih baik jika konsep keganasan rumah tangga diluaskan. Bagi saya perbincangan tidakm boleh meminggirkan penderaan dan keganasan yang dilakukan oleh isteri kepada suami. Keganasan juga boleh berlaku dengan isi rumah yang lain. Keganasan rumah tangga ada juga yang tidak melibatkan penderaan terhadap manusia sebaliknya berlaku salah laku musnah terhadap harta benda.

    ReplyDelete